Selasa, 27 Februari 2018 | 7:24pm
- Gambar hiasan
- Gambar hiasan

Ringgit ditutup rendah berbanding dolar AS

KUALA LUMPUR: Ringgit menamatkan kenaikan yang dicatat semalam apabila ditutup lebih rendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) hari ini berikutan kekurangan minat belian apabila pelabur beralih kepada mata wang lebih selamat, kata peniaga.

Pada jam 6 petang ini, ringgit berada di paras 3.9060/9100 berbanding dolar AS daripada 3.9010/9050 pada Isnin.

Kalangan pedagang juga bertindak mengambil keuntungan masing-masing ketika secara teknikalnya, ringgit mencatat peningkatan secara ketara, baru-baru ini.

"Sentimen terhadap mata wang negara sedang pesat membangun, termasuk ringgit kekal berhati-hati menjelang keterangan mengenai dasar monetari bagi separa tahun oleh Pengerusi Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (Fed) baharu, Jay Powell, yang boleh menjejaskan keputusan mengenai kenaikan kadar faedah," katanya.

Sementara itu, ringgit juga tinggi berbanding kelompok mata wang utama lain.

Ia naik berbanding dolar Singapura kepada 2.9613/9646 daripada 2.9654/9694 pada Isnin, meningkat berbanding pound Britain kepada 5.4500/4560 daripada 5.4848/4912 serta tinggi berbanding yen kepada 3.6488/6539 daripada 3.6591/6632.

Ringgit bagaimanapun rendah berbanding euro kepada 4.8161/8222 daripada 4.8142/8207, semalam.

- BERNAMA

Berita Harian X