Selasa, 20 Februari 2018 | 6:47pm

Bursa Malaysia ditutup rendah

KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia ditutup rendah dalam dagangan jajaran kecil hari ini selepas ditutup lebih kukuh pada Isnin, kata peniaga.

Aktiviti pengambilan untung muncul sepanjang hari dagangan dan mengurangkan kenaikan sebelumnya.

Pada sesi penutup, indeks utama FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) turun 1.33 mata kepada 1,855.99, selepas bergerak antara paras 1,852.96 dan 1,861.10 sepanjang hari dagangan.

Ia dibuka 1.94 mata lebih rendah kepada 1,855.38 daripada penutup 1,857.32 pada Isnin.

Di keseluruhan pasaran, kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 556 berbanding 408 dengan 346 kaunter tidak berubah, 582 tidak diniagakan dan 27 yang lain digantung.

Jumlah dagangan turun kepada 2.28 bilion unit bernilai RM2.10 bilion daripada 2.36 bilion saham bernilai RM1.89 bilion pada Isnin.

Seorang peniaga berkata prestasi bursa tempatan itu sejajar dengan kelemahan ekuiti Asia yang kebanyakannya susut berikutan pengambilan untung susulan kenaikan tinggi pada Isnin.

Pasaran kekurangan pemangkin berikutan ketiadaan petunjuk dari Amerika Syarikat (AS) dan China dan dalam keadaan petunjuk lemah dari Eropah, yang membawa kepada penurunan aktiviti dan juga sentimen, katanya.

Perhatian beralih kepada minit mesyuarat Rizab Persekutuan AS pada 30 hingga 31 Januari lalu yang dijangka dikeluarkan pada Rabu bagi menilai prospek peningkatan kadar, katanya.

Di peringkat serantau, Nikkei 225 Jepun turun 1.01 peratus kepada 21,925.10, Hang Seng Hong Kong susut 0.78 peratus kepada 30,873.63, Kospi Korea Selatan berkurangan 1.13 peratus kepada 2,415.12 dan Straits Times Index Singapura jatuh 0.38 peratus kepada 3,474.71.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Public Bank naik 10 sen kepada RM22.08, CIMB Group meningkat tiga sen kepada RM7.12, Tenaga turun dua sen kepada RM15.72 sen manakala Maybank dan Petronas Chemicals tidak berubah masing-masing pada RM10.14 dan RM8.10.

Dalam kalangan kaunter cergas, Sino Hua-An dan AirAsia X menambah setengah sen setiap satu masing-masing kepada 56.5 sen dan 40 sen, Hibiscus warrant turun satu sen kepada lapan sen, PUC susut setengah sen kepada 27.5 sen dan Sumatec tidak berubah pada lapan sen.

Indeks FBM Emas turun 16.20 mata kepada 13,250.80, Indeks FBMT 100 berkurangan 15.64 mata kepada 12,953.95, Indeks FBM Emas Shariah jatuh 29.40 mata kepada 13,575.32 dan FBM Ace susut 74.27 mata kepada 6,334.33.

FBM 70 berkurangan 41.24 mata kepada 16,264.05.

Mengikut sektor, Indeks Kewangan naik 1.59 mata kepada 17,781.81, Indeks Perladangan meningkat 12.33 mata kepada 8,060.44 manakala Indeks Perusahaan berkurangan 35.26 mata kepada 3,242.98.

Jumlah dagangan Pasaran Utama turun kepada 1.30 bilion unit bernilai RM1.90 bilion, berbanding dengan 1.37 bilion unit bernilai RM1.69 juta yang dicatatkan pada Isnin.

Jumlah dagangan di Pasaran ACE turun kepada 297.30 juta saham bernilai RM63.18 juta, daripada 459.29 juta saham bernilai RM110.72 juta yang diniagakan pada Isnin.

Jumlah dagangan waran meningkat kepada 670.29 juta saham bernilai RM139.41 juta daripada 518.40 juta unit bernilai RM84.66 juta sebelumnya.

Barangan pengguna menyumbang 64.97 juta saham yang diniagakan di Pasaran Utama, barangan perusahaan (386.79 juta), pembinaan (56.44 juta), perdagangan dan perkhidmatan (581.63 juta), teknologi (58.02 juta), prasarana (4.42 juta), SPAC (3.60 juta), kewangan (43.53 juta), hotel (284,600), hartanah (59.25 juta), perladangan (31.52 juta), perlombongan (161,000), REITs (12.23 juta), dan dana tertutup (sifar).

-BERNAMA

Berita Harian X