Jumaat, 2 Februari 2018 | 10:16am

Brent naik 18 cents

TOKYO: Harga minyak Amerika Syarikat (AS) meningkat untuk tiga hari berturut-turut, hari ini, susulan tinjauan menunjukkan kepatuhan tinggi dalam mengurangkan bekalan minyak oleh Pertubuhan Negara Pengeksport Petroleum (OPEC) dan Russia.

 

Niaga hadapan minyak mentah AS West Texas Intermediate (WTI) meningkat 32 cents, atau 0.5 peratus, kepada AS$66.12 setong pada 0108 GMT.

 

Niaga hadapan minyak mentah Brent, penanda aras global, naik 19 cents, atau 0.3 peratus, kepada 69.84 setong.

 

Kajian Reuters menunjukkan, pengeluaran minyak OPEC meningkat pada Januari daripada paras rendah lapan bulan susulan pengeluaran lebih tinggi dari Nigeria dan Arab Saudi untuk mengimbangi penyusutan di Venezuela dan kepatuahan tinggi terhadap langkah mengurangkan bekalan minyak.

 

Kajian menunjukkan OPEC mengeluarkan 32.4 juta tong sehari (bpd) pada Januari, naik 100,000 bpd daripada Disember.

 

Jumlah keseluruhan bulan lalu disemak semula kira-kira 110,000 bpd kepada paras terendah sejak April 2017.

 

Bagaimanapun, kajian itu mendapati, kepatuhan pengeluar minyak termasuk dalam perjanjian untuk mengurangkan bekalan, meningkat kepada 138 peratus daripada 137 peratus pada Disember, menyatakan komitmen tidak berubah walaupun harga minyak mencecah paras tertinggi sejak 2014.

 

"Ia menggariskan komitmen kartel terbabit, dan Russia untuk mengawal harga minyak," kata Ketua Strategi Pasaran di Axi-Trader, Greg McKenna.

- REUTERS

Berita Harian X