Jumaat, 2 Februari 2018 | 10:13am

Ringgit dibuka tinggi

KUALA LUMPUR: Ringgit dibuka tinggi berbanding dolar AS pagi ini, disokong oleh harga minyak mentah dunia yang lebih kukuh, kata peniaga.

 

Pada jam 9 pagi, ringgit mencatatkan 3.8830/8870 berbanding dolar daripada 3.8975/8995 pada penutupan Selasa.

 

Sementara itu, Ketua Pedagang Oanda Corp bagi Asia Pasifik, Stephen Innes, berkata Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan AS mengekalkan julat sasaran kadar dana persekutuan pada 1.25-1.50 peratus.

 

"Bank Negara Malaysia juga bergerak kepada tahap mengembalikan kadar faedah kepada paras normal, dan ringgit mungkin kurang sensitif terhadap keputusan AS berbanding rakan serantau.

 

"Jika senario itu berlaku, ia akan menyaksikan pertandingan dalam data ekonomi, dan jika ekonomi Malaysia semakin meningkat, ringgit pasti kekal stabil dan mengukuh," katanya kepada BERNAMA.

 

Innes berkata harga minyak yang lebih tinggi juga terus menyokong ringgit. 

 

Minyak mentah Brent mencatatkan kenaikan 0.34 peratus kepada AS$69.89.

 

Sementara itu, ringgit diniagakan bercampur-campur berbanding sekumpulan mata wang utama.

 

Ia mengukuh berbanding dolar Singapura kepada 2.9655/9692 daripada 2.9711/9731 dan meningkat berbanding yen kepada 3.5484/5524 daripada 3.5869/5897.

 

Ringgit bagaimanapun merosot berbanding pound Britain pada 5.5387/5460 daripada 5.4842/4889 dan rendah berbanding euro kepada 4.8557/8619 daripada 4.8317/8358 pada Selasa. - BERNAMA 

 

 

Berita Harian X