Jumaat, 26 Januari 2018 | 9:30pm
- Gambar hiasan
- Gambar hiasan

Ringgit terus kukuh berbanding dolar AS

KUALA LUMPUR: Ringgit meneruskan aliran harga meningkatnya berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) hari ini, kepada 3.86, paras yang kali terakhir dicatat pada 20 April 2016, susulan keputusan Bank Negara Malaysia (BNM) menaikkan kadar dasar semalaman (OPR) semalam, dengan saham kewangan tempatan meraih manfaat.

 

Pada jam 6 petang, ringgit ditutup pada 3.8690/8720 berbanding dolar daripada 3.8840/8870 pada Khamis.

 

Ketua Pedagang OANDA bagi Asia Pasifik Stephen Innes berkata, ringgit tidak banyak terjejas daripada kedudukan dagangan semalaman dolar AS memandangkan keyakinan pelabur yang kukuh dan memihak kepada pasaran modal Malaysia.

 

"Dengan harga minyak mengekalkan keuntungan mingguan serta latar belakang pertumbuhan global yang menyeluruh, ringgit akan terus meningkat walaupun dolar sedikit pulih semalaman selepas Donald Trump berkata pentadbirannya menyokong dolar yang kukuh," kata Innes kepada Bernama. 

 

Pada Khamis, BNM menaikkan OPR sebanyak 25 mata asas kepada 3.25 peratus.

 

Kali terakhir perubahan OPR ialah pada Julai 2016 apabila BNM mengurangkan 25 mata asas. Sementara itu, Penganalisis FXTM Research, Lukman Otunuga, berkata ringgit mencatat kedudukan yang sangat positif minggu ini.

 

"Jelas, sentimen ke atas ekonomi Malaysia semakin meningkat, sekali gus menyokong mata wang tempatan.

 

"Dari sudut teknikal, dolar AS yang terus lemah kepada paras 3.90, boleh mendorong penurunan seterusnya," kata Lukman. 

 

Ringgit juga didagangkan tinggi berbanding sekumpulam mata wang utama yang lain.

 

Ia mengukuh berbanding dolar Singapura kepada 2.9607/9648 daripada 2.9746/9781 pada Khamis dan berbanding yen kepada 3.5456/5490 daripada 3.5630/5661 semalam.

 

Ringgit juga tinggi berbanding euro kepada 4.8185/8234 daripada 4.8286/8327 semalam dan meningkat berbanding pound Britain kepada 5.5160/5222 daripada 5.5491/5537 pada Khamis. -- BERNAMA 

Berita Harian X