Selasa, 23 Januari 2018 | 8:57pm

Harga minyak meningkat

SINGAPURA: Harga minyak meningkat, didorong pertumbuhan ekonomi yang memberangsangkan serta pengurangan bekalan minyak yang berterusan oleh Pertubuhan Negara Pengeksport Petroleum (OPEC) dan Russia.

 

Niaga hadapan minyak mentah Brent berada pada AS$69.38 setong pada 0756 GMT, naik 35 cents, atau 0.5 peratus daripada sesi penutup terakhirnya yang tidak jauh daripada paras tinggi tiga tahun AS$70.37 dicapai pada 15 Januari.

 

Niaga hadapan minyak mentah West Texas Intermediate (WTI) Amerika Syarikat (AS) berada pada AS$63.93 setong, naik 36 cents, atau 0.6 peratus daripada sesi penutup terakhirnya.

 

WTI meningkat kepada paras tertingginya sejak Disember 2014 pada 16 Januari iaitu AS$64.89 setong.

 

Peniaga berkata, pasaran minyak kebanyakannya didorong oleh pertumbuhan ekonomi yang memberangsangkan.

 

Pada Isnin, Tabung Mata Wang Antarabangsa (IMF) mengunjurkan pertumbuhan ekonomi dunia pada 2018 dan 2019, kepada 3.9 peratus, peningkatan 0.2 mata peratusan sejak dikemas kini pada Oktober lalu.

 

"Unjuran ekonomi dan cuaca yang lebih sejuk mendorong kepada permintaan tinggi terhadap minyak.

 

"Unjuran bagi 2018 adalah seimbang secara kasar untuk sebahagian besar tahun ini, namun inventori dijangka meningkat pada suku keempat 2018," menurut BNP Paribas.

 

Menurutnya, ramalan harga minyak 2018 turut ditingkatkan AS$10 setong dan menjangka WTI mencapai purata AS$60 dan Brent AS$65, namun terdapat juga petanda kemungkinan pembetulan harga. - Reuters

Berita Harian X