Jumaat, 19 Januari 2018 | 10:02am

Ringgit mengukuh

KUALA LUMPUR: Ringgit mencatat lantunan untuk dibuka lebih tinggi berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pagi ini disebabkan pengukuhan permintaan, kata peniaga.

Pada 9.12 pagi, ringgit berada pada 3.9410/9450 berbanding dolar AS daripada 3.9540/9570 penutup Khamis.

Ketua Dagangan Asia Pasifik di Oanda Corp, Stephen Innes, berkata ringgit tidak dijangka mengalami sebarang kejutan atau pergerakan ketara menjelang hujung minggu, berikutan kestabilannya minggu ini.

Beliau berkata, mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari Khamis depan dijangka mempengaruhi arah tuju ringgit untuk jangka pendek.

Sementara itu, ringgit didagangkan kebanyakannya lebih kukuh berbanding mata wang utama lain.

Ia mengukuh berbanding euro kepada 4.8242/8303 daripada 4.8290/8339 penutup Khamis dan naik berbanding dolar Singapura kepada 2.9838/9875 daripada 2.9887/9912.

Ringgit menokok berbanding yen kepada 3.5498/5544 daripada 3.5522/5553, tetapi susut berbanding pound British kepada 5.4752/4824 daripada 5.4731/4777. - BERNAMA

Berita Harian X