Khamis, 18 Januari 2018 | 8:04pm

Ringgit rendah berbanding dolar AS

KUALA LUMPUR: Ringgit ditutup rendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) hari ini, berikutan kenaikan hasil Perbendaharaan AS, kata peniaga.

Pada 6 petang, ringgit ditutup pada 3.9540/9570 berbanding dolar AS daripada 3.9520/9560 pada Rabu.

Ketua Dagangan bagi Asia Pasifik Oanda Corp, Stephen Innes, berkata ringgit pada awalnya diniagakan tinggi, namun Perbendaharaan AS mencatat peningkatan hasil dan ia mendorong momentum dolar AS serta beberapa pegangan jangka pendek pada awal dagangan.

Beliau berkata, pasaran tukaran asing yang lemah hari ini memberi petunjuk bahawa pelabur akan terus memanfaatkan ​​​​​​​sebarang penurunan oportunis ke atas kadar tukaran dolar-ringgit​​​​​​, ​memandangkan​​​​​​​ momentum meningkat kekal tidak terjejas.

"Hasil bon AS lebih tinggi boleh menjejaskan unit tempatan, melonjakkan pasaran ekuiti global dan harga tenaga lebih tinggi, mengimbangi tekanan daripada kadar faedah AS, dan peniaga tempatan​​​​​​ ​mula mendapatkan semula pegangan jangka pendek dolar-ringgit apabila dolar AS tidak lagi berada dalam fasa pembetulan," katanya.

Katanya, harga minyak turut memberi sokongan memandangkan bekalan berkurangan dan permintaan global pula tinggi.

Ringgit diniagakan bercampur-campur berbanding kumpulan mata wang utama.

Ringgit susut berbanding dolar Singapura kepada 2.9887/9912 daripada 2.9867/9906 pada Rabu, namun meningkat berbanding yen kepada 3.5522/5553 daripada 3.5674/5720.

Ringgit juga rendah berbanding pound kepada 5.4731/4777 daripada 5.4506/4577 semalam dan tinggi berbanding euro kepada 4.8290/8339 daripada 4.8388/8441.

Berita Harian X