Rabu, 17 Januari 2018 | 8:06pm
- Foto Ramdzan Masiam
- Foto Ramdzan Masiam

Ringgit ditutup tinggi

KUALA LUMPUR: Ringgit ditutup tinggi berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) hari ini berikutan minat belian baharu, disokong oleh prestasi harga minyak mentah yang positif.

Pada jam 6 petang, unit tempatan ditutup pada 3.9520/9560 berbanding dolar AS daripada 3.9540/9590 pada Selasa.

Peniaga berkata ringgit bertentangan dengan aliran mata wang pesat membangun, yang kebanyakannya susut susulan dolar meningkat semula, disebabkan status negara sebagai negara pengeluar minyak.

Harga minyak kekal kukuh pada Rabu berikutan pengetatan bekalan dan permintaan global yang kukuh.

Pada sesi penutupan pasaran di Asia, penanda aras niaga hadapan minyak mentah Brent naik lapan peratus kepada AS$69.23 setong daripada penutupan sebelum ini.

"Niaga hadapan minyak mentah Brent dan West Texas Intermediate (WTI), masing-masing mencecah paras tertinggi dalam tempoh tiga tahun atau tertinggi sejak Disember 2014 pada awal minggu ini dan tidak menunjukkan tanda pembetulan menurun.

"Ringgit mungkin lebih baik dan menguji paras sokongan yang akan datang pada 3.90 susulan unjuran harga minyak yang positif dan pasaran tidak lama lagi akan beralih kepada idea perdagangan berdasarkan normalisasi dasar Bank Negara Malaysia, yang sekali lagi ringgit positif," katanya.

Unit tempatan, bagaimanapun diniagakan bercampur-campur berbanding sekumpulan mata wang utama.

Ia hampir tidak berubah berbanding dolar Singapura kepada 2.9867/9906 daripada 2.9864/9909 pada Selasa, dan naik berbanding yen kepada 3.5674/5720 daripada 3.5715/5770 semalam.

Ringgit susut berbanding pound British kepada 5.4506/4577 daripada 5.4415/4496 dan rendah berbanding euro kepada 4.8388/8441 daripada 4.8369/8446. - BERNAMA

Berita Harian X