Jumaat, 5 Januari 2018 | 3:06pm

Ringgit terus kukuh berbanding dolar Singapura

KUALA LUMPUR: Ringgit dijangka terus mengukuh ke bawah RM3.00 berbanding dolar Singapura (SGD) disokong permintaan tinggi mata wang tempatan yang berterusan.

Peniaga mata wang berkata, peningkatan permintaan ringgit adalah ekoran jangkaan kenaikan penanda aras kadar faedah oleh Bank Negara Malaysia, unjuran ekonomi dan kewangan negara yang lebih baik serta pengukuhan harga dua eksport utama negara iaitu minyak mentah dan sawit.

Pagi tadi, ringgit mengukuh kepada RM3.0096 sedolar Singapura, naik 0.55 peratus berbanding semalam. Paras tertinggi sejak 1 November 2016.

Penganalisis berkata, mata wang tempatan pada bila-bila masa akan meningkat ke bawah paras RM3.00 sedolar Singapura. Paras terbaharu yang dilihat sebahagian besar mereka adalah RM2.98 sedolar Singapura.

Dalam tempoh dua tahun lalu, mata wang tempatan susut ke paras terendah RM3.1681 berbanding dolar Singapura pada 29 Mac 2017 sebelum mulai pulih secara berperingkat kepada RM3.0096 pagi tadi, peningkatan 4.97 peratus.

"Kami menjangka Bank Negara akan menaikkan kadar dasar semalaman (OPR) pada mesyuaratnya yang dijadualkan pada 25 Januari ini. Dalam pada itu, harga eksport utama Malaysia iaitu minyak sawit mentah (MSM) sudah meningkat 4.97 peratus kepada RM2,544 satu tan pagi tadi berbanding RM2,340 pada 14 Disember lalu," kata penganalisis.

Sementara itu, satu lagi eksport komoditi utama negara, minyak mentah yang lazimnya diukur berdasarkan penanda aras harga minyak mentah Brent, meningkat 51.76 peratus kepada AS$67.99 pagi tadi daripada AS$44.82 setong.

Berita Harian X