Jumaat, 5 Januari 2018 | 12:10pm

Ringgit mengukuh bawah paras RM4 sedolar

KUALA LUMPUR: Ringgit mengukuh ke bawah paras RM4 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) buat kali pertama sejak Ogos 2016 pagi ini, didorong jangkaan positif ekonomi dan kedudukan kewangan negara.

Mata wang tempatan itu meningkat 0.4 peratus kepada RM3.991 sedolar, tertinggi sejak 16 Ogos 2016.

Penganalisis berkata, pengukuhan mata wang tempatan itu disokong oleh peningkatan kedudukan fiskal kerajaan, unjuran ekonomi negara yang positif serta paras ringgit yang selama ini di bawah nilai.

Untuk jangka terdekat, penganalisis berkata, mata wang tempatan itu mampu mengukuh ke paras RM3.95 sedolar.

"Aliran masuk dana ke negara ekonomi baru muncul akan disokong oleh permintaan tinggi di persada global, kemantapan lebaran imbangan kerajaan serta langkah mengetatkan dasar monetari secara berperingkat," katanya.

Sementara itu, BMI Research dalam nota penyelidikannya baru-baru ini menaikkan unjuran ringgit kepada RM3.90 sedolar menjelang akhir tahun ini daripada unjuran sebelumnya iaitu RM4 sedolar.

United Overseas Bank (UOB) pula berkata, untuk tempoh selanjutnya, tiga faktor positif utama yang akan terus menyokong pengukuhan ringgit adalah pertumbuhan ekonomi yang kukuh, pengukuhan harga minyak mentah dunia dan jangkaan kesan Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) yang dijadualkan tahun ini.

TA Securities Holdings Bhd turut mengunjurkan ringgit meneruskan aliran meningkatnya berbanding dolar AS tahun ini didorong jangkaan kenaikan kadar faedah oleh Bank Negara Malaysia, peningkatan harga minyak mentah serta penghantaran balik pendapatan eksport memberi impak positif kepada ringgit.

Berita Harian X