Rabu, 3 Januari 2018 | 8:28am
- Gambar hiasan
- Gambar hiasan

Wall Street buka tirai 2018 cemerlang

NEW YORK: Saham Amerika Syarikat (AS) memulakan tahun baharu dengan baik apabila mencatat kenaikan pada sesi dagangan pertama 2018.

Nasdaq ditutup melepasi 7,000 mata buat kali pertama berikutan pelabur optimistik tahun ini mencatat lebih baik lagi.

Justeru, Nasdaq, dipacu kenaikan dalam Apple, Facebook, Amazon dan Alphabet, melepasi 6,000 mata pada April tahun lalu dan ditutup di atas 5,000 mata buat kali pertama dalam 15 tahun 2015.

Indeks teknologi itu menambah 1.4 peratus pada hari pertama dagangan 2018, menyusuli kenaikan 37 peratus pada 2017 yang menjadikannya sektor S&P 500 paling cemerlang.

S&P 500 juga mencecah rekod penutup tertinggi.

Selain teknologi, sektor pengguna S&P, semua indeks berkaitan penjagaan kesihatan, tenaga dan bahan naik lebih satu peratus pada hari sama.

Indeks saham utama menutup 2017 dengan mencatat prestasi terbaik sejak 2013. Ramai pelabur berkata kenaikan harga itu dijangka berterusan tahun ini dengan bantuan daripada reformasi percukaian AS, baru-baru ini yang dapat melonjakkan keuntungan dan merangsang ekonomi.

"Saya tidak jangka prestasi sebagaimana yang kita lihat tahun lalu. Tetapi selagi dasar monetari kekal ... pada pandangan saya pasaran saham akan menyaksikan tahun yang baik.

"Dasar fiskal menjadi lebih merangsang, juga rang undang-undang percukaian baharu," kata Stephen Massocca, naib presiden kanan di Wedbush Securities di San Francisco.

Dow Jones Industrial Average menokok 104.79 mata, atau 0.42 peratus, kepada 24,824.01.

S&P 500 menambah 22.18 mata, atau 0.83 peratus, kepada 2,695.79.

Nasdaq Composite naik 103.51 mata, atau 1.5 peratus, kepada 7,006.90.

Kaunter untung mengatasi rugi di NYSE dengan nisbah 1.64-kepada-1; di Nasdaq pada nisbah 2.01-kepada-1.

Sejumlah 6.7 bilion saham bertukar tangan berbanding 6.3 bilion purata harian 20 hari dagangan sebelumnya, demikian menurut data Thomson Reuters. - Reuters

Berita Harian X