Selasa, 2 Januari 2018 | 6:40pm
RINGGIT memulakan dagangan hari pertama 2018 dalam aliran meningkat berbanding dolar Amerika Syarikat. - Foto hiasan
RINGGIT memulakan dagangan hari pertama 2018 dalam aliran meningkat berbanding dolar Amerika Syarikat. - Foto hiasan

Ringgit tertinggi dalam 17 bulan

KUALA LUMPUR: Ringgit memulakan dagangan hari pertama 2018 dalam aliran meningkat berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) dengan mencecah paras tertinggi dalam tempoh 17 bulan.

Berdasarkan perangkaan Bloomberg, mata wang tempatan itu mencecah paras RM4.0175 sedolar, paras tertinggi sejak Ogos 2016, sebelum mengakhiri dagangan hari pertama 2018 pada paras RM4.0195 sedolar.

Sentimen dolar AS yang lemah, pemulihan harga komoditi utama serta prospek ekonomi negara yang kukuh, menyokong mata wang tempatan itu untuk terus berada dalam kedudukan kukuh.

Langkah yang dilaksanakan Bank Negara Malaysia (BNM) dalam menstabilkan ringgit juga membuahkan hasil dengan memperlihatkan pergerakan ringgit kini lebih stabil.

Rata-rata penganalisis pasaran mengunjurkan, ringgit dijangka meneruskan aliran pengukuhannya dengan mencecah paras di bawah RM4 berbanding dolar AS pada 2018.

Malah, ada enganalisis yang mengunjurkan sentimen positif ekonomi tempatan dan faktor luar akan mendorong ringgit untuk menikmati aliran meningkat dengan mampu mencecah paras RM3.95 sedolar pada suku keempat tahun ini.

Bagi MIDF Research, ringgit mengakhiri 2017 dengan menepati sasaran yang ditetapkan firma penyelidik itu pada paras RM4.05 sedolar.

Ia berkata, mata wang tempatan mencatatkan peningkatan ketara berbanding paras RM4.46 yang dicatatkan pada akhir 2016, dipacu pertumbuhan kukuh dalam prestasi perdagangan luaran, pemulihan harga komoditi global dan momentum kukuh permintaan domestik.

"Kami jangka, ringgit akan mencatatkan paras purata RM4 sedolar, sementara mencecah paras RM3.95 sedolar pada akhir tahun.

"Ia akan dipacu oleh momentum kukuh berterusan dalam ekonomi dan prestasi yang lebih baik dalam persekitaran perniagaan," katanya dalam nota penyelidikannya, hari ini.

Sebelum ini, United Overseas Bank (UOB) dalam nota penyelidikannya berkata, pihaknya melihat faktor positif semasa akan terus memacu ringgit untuk terus mengukuh berbanding dolar AS.

Bank yang berpangkalan di Singapura itu mengunjurkan ringgit akan mengukuh kepada RM4.05 sedolar pada suku pertama 2018, RM4.02 pada suku kedua 2018, RM3.97 pada suku ketiga 2018 dan RM3.95 pada suku keempat 2018.

Sementara itu, pasaran saham tempatan pula memulakan dagangan hari pertama 2018 dalam nada pembetulan berikutan aktiviti mengambil untung susulan peningkatan kukuh yang dicatatkan pada hari terakhir dagangan 2017.

Pada jam 5 petang, Indeks FBM KLCI jatuh 14.11 mata atau 0.79 peratus kepada 1,782.70 selepas memulakan awal dagangan pada paras 1,783.10.

Rata-rata penganalisis pasaran sudah mengunjurkan pasaran saham tempatan akan mencatatkan pembetulan pada hari pertama dagangan 2018 selepas ia meningkat kukuh pada hari terakhir dagangan 2017.

Bagaimanapun, penganalisis pasaran menjangkakan pasaran saham tempatan akan meningkat semula selepas mencatatkan pembetulan pada hari pertama dagangan 2018.

Indeks penanda aras itu diunjurkan akan mencuba paras rintangan seterusnya pada paras 1,818.

Berita Harian X