Selasa, 19 Disember 2017 | 8:05am

Saham Berkshire cecah AS$300,000

NEW YORK: Harga saham Berkshire Hathaway Inc mencecah AS$300,000 buat pertama kali hari ini, sekali gus mencerminkan keyakinan pelabur dalam konglomerat Warren Buffett walaupun ia mencatat keuntungan operasi lebih rendah untuk empat suku berturut-turut.

Melepasi paras AS$300,000 meletakkan saham Kelas A Berkshire berada 22.9 peratus lebih tinggi tahun ini, berbanding kenaikan 20 peratus dalam indeks Standard & Poor's 500.

Saham Kelas B Berkshire, bernilai 1/1500 daripada saham Kelas A, didagangkan pada harga sekitar AS$199.75.

Kenaikan itu dicatat sungguhpun 2017 tidak begitu baik bagi Berkshire.

Keuntungan operasi, yang menokok satu peratus pada 2016, susut 16 peratus bagi tempoh Januari hingga September, mencerminkan kerugian yang ditanggung susulan taufan yang melanda Amerika Syarikat (AS) seperti Harvey, Irma dan Maria.

Bagaimanapun, nilai buku syarikat, atau aset yang ditolak tanggungan, menokok 8.9 peratus.

Terdapat lebih 90 unit operasi di bawah Berkshire, termasuk pengendali kereta api BNSF, insurans kenderaan Geico dan syarikat utiliti Berkshire Hathaway Energy, dan perniagaan yang lebih kecil seperti ais krim Dairy Queen, bateri Duracell, pakaian dalam Fruit of the Loom, pisau Ginsu dan ensiklopedia World Book.

Buffett, 87, mengendalikan Berkshire sejak 1965, apabila ia hanya sebuah syarikat tekstil yang mana harga sahamnya AS$11 seunit. - Reuters

Berita Harian X