Isnin, 18 Disember 2017 | 8:19pm

Bursa Malaysia ditutup rendah

 

KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia ditutup rendah hari ini berikutan kegiatan pengambilan untung sederhana dalam saham wajaran tinggi berkaitan indeks terpilih. 

 

Petunjuk pasaran FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) turun 1.43 mata kepada 1,751.64 daripada 1,753.07 pada penutup Jumaat lalu.

 

Indeks utama itu dibuka 0.98 mata lebih tinggi pada 1,754.05 dan bergerak antara paras 1,747.62 dan 1,755.20 sepanjang sesi dagangan. 

 

Di keseluruhan pasaran, kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 476 berbanding 400 dengan 387 kaunter tidak berubah, 595 kaunter tidak diniagakan dan 27 yang lain digantung.

 

Jumlah dagangan meningkat kepada 2.4 bilion saham bernilai RM2.16 bilion daripada 2.34 bilion saham bernilai RM3.51 bilion pada Jumaat minggu lalu.

 

Saham serantau meningkat susulan pengurangan cukai Amerika Syarikat oleh parti Republikan yang bertujuan meningkatkan pertumbuhan ekonomi negara itu. 

 

Persatuan Penyelaras Khas Penganalisis Teknikal Malaysia, Annis Ozleen Othman, berkata 10 kaunter utama dengan jumlah dagangan terbesar dikuasai oleh saham berharga kurang RM1 dalam kaunter dagangan dan perkhidmatan. 

 

"Dalam tempoh jangka pendek, kami melihat indeks beralih ke paras ketahanan untuk melepasi paras 1,760.

 

"Kami menjangka prestasi  tidak berubah sehingga akhir tahun tetapi masih dalam jajaran ketat," katanya Annis Ozleen kepada Bernama. 

 

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank susut empat sen kepada RM9.50, Tenaga dan Public Bank setiap satu turun enam sen masing-masing kepada RM15.38 dan RM20.70, manakala Petronas Chemicals tidak berubah pada RM7.45. 

 

Senarai saham diniagakan cergas termasuklah PUC, yang meningkat 3.5 sen kepada 32 sen, Sapura Energy, yang susut setengah sen kepada 73.5 sen manakala Frontken menokok lima sen kepada 47.5 sen. 

 

Indeks FBM Emas susut 18.02 mata kepada 12,570.82, Indeks FBMT100 turun 17.48 mata kepada 12,239.36 dan Indeks FBM Emas Shariah jatuh 2.94 mata kepada 12,887.79.FBM 70 turun 47.42 mata kepada 15,413.29 dan FBM Ace berkurangan 27.80 mata kepada 6,400.62.

 

Mengikut sektor, Indeks Perusahaan turun 18.83 mata kepada 3,161.33 dan Indeks Kewangan susut 39.59 mata kepada 16,546.92, manakala Indeks Perladangan naik 11.37 mata kepada 7,821.48.

 

Jumlah dagangan Pasaran Utama turun kepada 1.36 bilion unit bernilai RM1.95 bilion, berbanding 1.69 bilion unit, bernilai RM3.38 bilion, pada Jumaat.

 

Jumlah dagangan di Pasaran ACE meningkat kepada 828.80 juta saham bernilai RM166.19 juta, daripada 452.25 juta saham bernilai RM95.52 juta sebelumnya.

 

Jumlah dagangan waran naik kepada 180.88 juta unit bernilai RM36.46 juta daripada 179.11 juta unit bernilai RM27.10 juta pada Jumaat minggu lalu.

 

Barangan pengguna menyumbang 65.97 juta saham yang diniagakan di Pasaan Utama, barangan perusahaan (357.07 juta), pembinaan (46.40 juta), perdagangan dan perkhidmatan (544.25 juta), teknologi (151.77 juta), prasarana (8.42 juta), SPAC (927,500), kewangan (39.76 juta), hotel (2.57 juta), hartanah (111.20 juta), perladangan (25.37 juta), perlombongan (10,000), REITs (9.42 juta), dan dana tertutup (22,100). - BERNAMA

Berita Harian X