Ahad, 17 Disember 2017 | 6:00pm

CADS, Coursera bantu lahir bakat baharu sains data

KUALA LUMPUR: The Center of Applied Data Science (CADS), bekerjasama dengan Coursera bagi menawarkan pelbagai kursus sains data kepada rakyat Malaysia untuk melahirkan bakat baharu dalam bidang sains data.

Pusat itu yang ditubuhkan pada Oktober 2015, bekerjasama dengan Inkubator Data, New York, Amerika Syarikat (AS) dengan menyediakan program pemecut Sains Data pertama ASEAN bagi mentransformasi bakat hebat sains dan kejuruteraan di Asia Tenggara.

CADS, satu-satunya pusat kecemerlangan sains data di rantau ini berkata, perubahan besar dalam pasaran global menyebabkan banyak syarikat mencari lebih banyak bakat baharu serta berkemahiran bagi memenuhi tuntutan permintaan yang tinggi.

"Kerajaan Malaysia yang diletakkan sebagai negara peneraju data, menyasarkan untuk melahirkan 20,000 golongan profesional data menjelang 2020.

"Bagi memenuhi keperluan itu, CADS dan Coursera, platform kursus 'dalam talian terbuka' (MOOC) yang terbesar di dunia, bekerjasama dan menerusinya golongan pekerja profesional dan pelajar di universiti boleh meneruskan kerjaya impian mereka dalam bidang sains data," katanya dalam satu kenyataan baru-baru ini.

Pengarah Urusan CADS, Cheam Tat Inn, berkata pihaknya yakin kerjasama itu membolehkan mereka memupuk dan memperkasa generasi baharu saintis data yang akan mempunyai akses kepada pendidikan dalam talian terbaik di dunia.

"Ini menandakan komitmen kami untuk melahirkan kumpulan saintis data berkemahiran tinggi yang memiliki kursus dari universiti antarabangsa.

"Antara institusi yang bereputasi adalah John Hopkins University, Wharton University of Pennsylvania, University of Washington, dan University of California, San Diego," katanya.

Sementara itu, Pengurus Antarabangsa Perkongsian Kerajaan Coursera, Matthew Klein, berkata menerusi kerjasama itu, ia membuka peluang dan kini pembelajaran sains data berkualiti tinggi dan efektif dapat diakses di Malaysia.

"Perkongsian dengan CADS benar-benar unik kerana pembelajaran yang ditawarkan membolehkan pelajar menikmati pelbagai manfaat melalui kursus analisis data dari universiti hebat dan rakan industri.

"Mentor peribadi turut disediakan supaya mereka boleh berusaha mencipta peluang inovatif dan seterusnya melahirkan bakat baharu saintis data di Malaysia," katanya.

Menerusi kerjasama itu, golongan pekerja profesional dan pelajar universiti perlu menamatkan program pendidikan dalam talian dalam tempoh setahun dengan memanfaatkan 11 kursus dalam talian piawaian antarabangsa yang ditawarkan institusi global terkenal.

Pelajar akan mempunyai akses kepada Hab Pembelajaran CADS berserta sesi tuisyen peribadi dengan Penyelidik Data terlatih dan berpengalaman.

Info:

- Kursus bermula pada Februari 2018 dengan kos RM4,999 untuk pekerja profesional dan RM3,599 untuk pelajar.

- Yuran termasuk peperiksaan dan kuiz; akses makmal, dan panduan saintis data selama sejam seminggu sepanjang proses pembelajaran secara keseluruhan.

- Pendaftaran dalam talian bermula pada 15 Disember 2017 dengan diskaun istimewa sebanyak 10 peratus ditawarkan kepada mereka yang mendaftar sebelum 31 Disember 2017.

Berita Harian X