Khamis, 14 Disember 2017 | 6:32pm

Masa hadapan cerah buat PROTON - Pengedar

SUBANG JAYA: PROTON Holdings Bhd (PROTON) yakin pengeluar kereta nasional itu mempunyai masa depan lebih cerah selepas pengambilalihan dan sebilangannya berhasrat menambah pelaburan untuk membuka lebih banyak cawangan. 

Keyakinan itu berikutan prospek positif susulan kerjasama PROTON dan Geely menerusi lawatan ke syarikat automotif China itu yang diadakan PROTON bersama pengedar terbaiknya, baru-baru ini.

PROTON dalam satu kenyataan hari ini, berkata, syarikat terbabit baru-baru ini menggesa pengedar dan pengendali pusat perkhidmatan untuk menaik taraf kemudahan mereka sebagai persediaan untuk model baharu PROTON yang akan diperkenalkan pada tahun depan.

 

Katanya, lawatan itu membabitkan seramai 28 pengedar PROTON, disertai oleh pegawai PROTON dan seorang wakil dari institusi kewangan.

 

"Lawatan berkenaan adalah untuk berkongsi pengalaman pengedar Geely mengendalikan cawangan mereka di Shanghai dan membuka pintu kepada rakyat Malaysia untuk mempelajari dan mengkaji operasi harian mereka.

 

"Pengedar PROTON juga berpeluang melawat ke Institut Penyelidikan Geely untuk melihat teknologi yang digunakan dan pelbagai reka bentuk masa pada masa akan datang.

 

"Selain itu, mereka turut dijemput untuk memandu uji model Geely Boyue yang bakal diperkenalkan di Malaysia dalam masa terdekat," katanya.

 

Sementara itu, Pengarah LHM One Stop, Ryan Lai, mengakui tertarik dengan tahap perkhidmatan pelanggan di cawangan Geely.

 

"Pusat perkhidmatan berkenaan mempunyai ruangan menunggu yang menyerupai hotel bertaraf lima bintang. Kebiasaannya, suasana itu hanya dirasai oleh pemilik kereta premium di Eropah," katanya.

LHM One Stop ialah sebuah cawangan 4S PROTON di Nilai, Negeri Sembilan.

 

Lai bersama beberapa pemilik pusat jualan dan perkhidmatan PROTON turut mengumumkan bahawa syarikat mereka akan membuat pelaburan membabitkan jutaan ringgit bagi memperluaskan cawangan PROTON mereka.

 

"Lawatan ini, membuka mata kepada apa yang bakal dicapai oleh PROTON pada masa akan datang.

 

"Kami akan melabur untuk jenama PROTON kerana kami sudah melihat masa depannya," katanya.

 

INFO

- PROTON kini dimiliki DRB-HICOM Bhd sebanyak 50.1 peratus dan 49.9 peratus oleh Zhejiang Geely Holding Group Co. Ltd

Berita Harian X