Rabu, 13 Disember 2017 | 5:56pm

Saham Asia naik, niaga hadapan minyak mentah pulih

TOKYO: Niaga hadapan Amerika Syarikat (AS), hasil Perbendaharaan dan dolar jatuh hari ini apabila Demokrat, Doug Jones berjaya menewaskan Republikan, Roy Moore dalam persaingan Senat AS di Alabama.

Namun begitu, saham Asia meningkat berikutan niaga hadapan minyak mentah kembali pulih dari paras rendah.

Niaga hadapan saham Eropah pula dibuka rendah di rantau ini, manakala niaga hadapan FTSE hampir tidak berubah dan niaga hadapan CAC 0.1 peratus lebih rendah.

Kemenangan Jones mungkin memberikan impak kepada Presiden Donald Trump dan politik populisnya.

Ia mengurangkan majoriti Parti Republikan yang sedia tipis di Senat AS, sekali gus mungkin memberikan laluan sukar untuk Trump melaksanakan agenda dasarnya.

Niaga hadapan e-mini S&P susut sehingga 0.3 peratus selepas keputusan pilihan raya itu. Ia susut 0.1 peratus.

Indeks dolar, merosot 0.2 peratus pada 93.959 berbanding 94.219 pada Selasa, iaitu tertinggi sejak 14 November.

Dolar merosot 0.2 peratus kepada 113.38 yen, manakala euro naik 0.1 peratus kepada AS$1.1755.

Indeks meluas saham Asia Pasifik MSCI di luar Jepun naik 0.5 peratus, manakala saham Korea Selatan naik 0.8 peratus.

Indeks saham Nikkei Jepun, berakhir 0.5 peratus lebih rendah, ditekan oleh yen yang kukuh dan mengimbangi data ekonomi yang meningkat menunjukkan permintaan jentera utama Jepun naik lebih daripada jangkaan lima peratus pada Oktober. - Reuters

Berita Harian X