Selasa, 12 Disember 2017 | 8:28pm

Saham kewangan lonjak Bursa Malaysia

KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia yang bermula kurang memberangsangkan hari ini, ditutup tinggi, dipacu oleh kenaikan kebanyakan saham mewah kewangan yang diterajui CIMB Group.

Penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) berakhir pada 1,729.57, naik 10.10 mata, daripada 1,719.47 semasa ditutup semalam.

Selepas dibuka 0.71 mata lebih rendah pada 1,718.76 dan mencecah paras terendah harian pada 1,717.32, indeks bergerak dalam jajaran 12.25 mata sebelum berakhir pada paras tinggi harian.

Saham untung mengatasi saham rugi pada 500 berbanding 373, dengan 363 kaunter tidak berubah, 622 kaunter tidak diniagakan dan 38 yang lain digantung.

Jumlah dagangan melonjak kepada 2.15 bilion saham bernilai RM2.33 bilion daripada 1.65 bilion saham bernilai RM1.97 bilion pada Isnin.

Seorang peniaga berkata pasaran ekuiti tempatan bersedia untuk diniagakan tinggi, seiring dengan Wall Street yang mengukuh.

"Dengan Purata Industri Dow Jones (DJIA) diunjur mencecah 25,000 menjelang akhir tahun, minat risiko yang bertambah baik mungkin memberi kesan limpahan ke rantau ini.

"Ini juga dapat dilihat dalam belian yang banyak oleh pelabur asing hari ini dalam saham kewangan di Bursa Malaysia," katanya.

Pelabur antarabangsa dilaporkan membeli RM337.7 juta ekuiti Malaysia, pertama kali melepasi RM300 juta dalam 12 minggu.

Minat belian terhadap CIMB Group yang muncul selepas sesi lepas waktu rehat tengah hari, yang menjadikan indeks utama disokong oleh +3.775 mata.

Sebagai penggerak utama dalam komponen FBM KLCI, CIMB Group naik 23 sen kepada RM6.18, dengan 5.91 juta saham bertukar tangan.

Pengerak utama lain dalam saham komponen indeks komposit ialah Public Bank yang menokok 18 sen kepada RM20.20, Hong Leong Financial Group menambah 24 sen kepada RM16.60, manakala Digi.com naik 15 sen kepada RM4.84.

Saham wajaran tinggi Maybank kekal pada RM9.25.

Sementara itu, Astro Malaysia susut tujuh sen kepada RM2.60.

Indeks FBM Emas naik 69.05 mata kepada 12,425.45, Indeks FBMT100 menambah 67.09 mata kepada 12,092.96 dan Indeks FBM Emas Syariah meningkat 33.19 mata kepada 12,853.59.

FBM 70 melonjak 72.25 mata kepada 15,255.38, manakala FBM Ace menambah 98.17 mata kepada 6,354.15.

Mengikut sektor, Indeks Kewangan menambah 174.50 mata kepada 16,183.00, Indeks Perusahaan meningkat 4.21 mata kepada 3,141.77 dan Indeks Perladangan menokok 8.11 mata kepada 7,843.57.

Antara saham aktif, PUC naik 2.5 sen kepada 25.5 sen, Sapura Energy menambah 3.5 sen kepada 81.5 sen, Green Packet meningkat satu sen kepada 51.5 sen dan DNEX menokok 3.5 sen kepada 45.5 sen.

Jumlah dagangan pasaran utama melonjak kepada 1.34 bilion unit bernilai RM2.19 bilion, daripada 1.04 bilion unit, bernilai RM1.86 bilion, yang dicatatkan pada Isnin.

Di Pasaran ACE pula, jumlah dagangan naik kepada 659.26 juta saham, bernilai RM124.21 juta, daripada 419.15 juta saham, bernilai RM81.46 juta.

Jumlah dagangan waran susut kepada 138.67 juta unit bernilai RM18.16 juta daripada 181.10 juta unit bernilai RM24.18 juta yang dicatatkan semalam.

Barangan pengguna menguasai 50.78 juta saham yang didagangkan di Pasaran Utama, barangan perusahaan (239.66 juta), pembinaan (47.96 juta), dagangan dan perkhidmatan (620.02 juta), teknologi (180.30 juta), infrastruktur (5.99 juta), SPAC (6.94 juta), kewangan (53.77 juta), hotel (1.97 juta), hartanah (97.18 juta), perladangan (34.08 juta), perlombongan (100), REIT (5.49 juta), dan tertutup/dana (0).

- BERNAMA

Berita Harian X