Jumaat, 17 November 2017 | 4:48pm

Pergerakan ringgit kini cermin pengukuhan ekonomi

KUALA LUMPUR: Ringgit terus mengukuh berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) dan ia kini lebih mencerminkan pengukuhan ekonomi negara.

Langkah menstabilkan ringgit yang dilaksanakan pada Disember 2016 dan Mac lalu berjaya mengukuhkan ringgit.

Gabenor Bank Negara Malaysia, Tan Sri Muhammad Ibrahim, berkata pergerakan ringgit kini lebih mencerminkan pertumbuhan ekonomi dan tidak lagi dipengaruhi oleh aktiviti spekulasi.

Beliau berkata, pergerakan turun naik ringgit yang tidak menentu semakin reda dan ia menjadi mata wang yang mencatatkan prestasi terbaik di rantau ini untuk dua suku tahun berturut-turut.

"Paras ringgit mencerminkan pengukuhan ekonomi dan terdapat lebih banyak kecairan dalam pasaran ketika ini.

"Ia lebih mencerminkan aliran kewangan dalam pasaran domestik. Namun, risiko masih ada," katanya pada sidang media mengumumkan prestasi ekonomi suku ketiga 2017 di sini, hari ini.

Ringgit meningkat 7.2 peratus berbanding dolar AS setakat ini bagi 2017, selepas mencecah paras rendah dalam tempoh 19 tahun pada paras 4.4980 pada 4 Januari lalu.

Mengenai dasar monetari, Muhammad berkata, bank pusat akan terus menilai keseimbangan risiko berkaitan prospek pertumbuhan domestik dan inflasi.

Beliau berkata, sebarang pelarasan dasar monetari adalah lebih kepada normalisasi berbanding mengetatkannya.

"Apabila pertumbuhan ekonomi semakin mantap, jangkaan ekonomi adalah positif, inflasi berada dalam lingkungan yang kami jangkakan dan ketidakseimbangan kewangan tidak meningkat dengan ketara atau menjadi masalah.

"Jadi, ia memberi kami sedikit kelonggaran untuk menyesuaikan dengan tahap akomodatif dasar monetari," katanya.

Mengenai kadar faedah benar tempatan yang negatif dalam tempoh hampir setahun, Muhammad berkata, ia bukan sesuatu yang luar biasa.

Sebaliknya, beliau menegaskan, jika keadaan itu berlarutan terlalu lama, ia menjadi kebimbangan.

Mengenai mata wang kripto, Muhammad berkata, Bank Negara dijangka mengeluarkan garis panduan pada Disember tahun ini dan ia akan meliputi, antaranya, pencegahan pengubahan wang haram dan pembiayaan keganasan.

Berita Harian X