Rabu, 15 November 2017 | 10:16pm
Ketua Ekonomi Perdagangan HSBC Global Research, Douglas Lippoldt. - Foto Ghazali Kori
Ketua Ekonomi Perdagangan HSBC Global Research, Douglas Lippoldt. - Foto Ghazali Kori

CPTPP bakal gerakkan liberalisasi perdagangan

KUALA LUMPUR: Pengikatan Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP) menandakan liberalisasi perdagangan masih boleh bergerak maju meskipun keadaan ekonomi yang mencabar.

HSBC Global Research berkata, anggaran menunjukkan bahawa menjelang 2030 satu perjanjian dalam kalangan TPP-11 (11 negara anggota Perkongsian Trans-Pasifik) boleh meningkatkan perdagangan di rantau itu sebanyak enam peratus yang bernilai kira-kira AS$157 bilion.

"Negara bukan anggota seperti China, India, Korea, Thailand dan Amerika Syarikat (AS) boleh berdepan kerugian bersih sederhana berjumlah US$10 bilion, memandangkan perdagangan akan beralih kepada anggota CPTPP," kata Ketua Ekonomi Perdagangannya, Douglas Lippoldt, dalam satu nota penyelidikan hari ini.

Pada 11 November 2017, 11 negara Asia Pasifik mengumumkan perjanjian secara prinsipnya bagi CPTPP, dibangunkan daripada perjanjian asal TPP yang dimeterai negara-negara ini dan AS pada 4 Februari, 2016, namun tidak dapat dilaksanakan.

"Dengan menyertai bersama-sama, negara-negara CPTPP akan mempunyai pengaruh yang besar dalam perdagangan antarabangsa. Kawasan itu memiliki gabungan keluaran dalam negara kasar berjumlah AS$10.1 trilion dengan penduduk seramai 500 juta.

"Secara kasarnya ia menyumbang kepada bahagian dalam perdagangan antarabangsa setanding dengan Perjanjian Perdagangan Bebas Amerika Utara," kata Lippoldt.

Menurutnya, dengan membentuk perjanjian berstandard tinggi antara negara maju dan negara membangun di empat benua, perjanjian CPTPP memperlihatkan daya maju projek liberalisasi perdagangan terangkum pelbagai kumpulan negara yang berbeza.

"Oleh kerana CPTPP akan menyediakan pasaran besar dengan terma akses yang besar, ia dijangka dapat menarik anggota tambahan. Dengan berbuat demikian, ia boleh membantu memberi daya tarikan kepada pelbagai penyetempatan inisiatif inovatifnya," katanya.

Anggota CPTPP akan mengubah suai beberapa bahagian daripada perjanjian TPP yang telah dirangka dengan penyertaan AS.

Mereka akan menggantung 20 peruntukan sensitif yang melibatkan pengendalian penghantaran laju, hak pelabur dan hak harta intelek.

Dengan menggantungnya dan bulan menghapuskan peruntukan ini, anggota CPTPP berharap ia akan dapat memudahkan AS untuk kembali semula menyertainya kemungkinan pada satu masa kelak.

Empat lagi bahagian CPTPP yang akan ditangani ialah perusahaan milik negara, arang batu, sekatan perdagangan dan pengecualian budaya.

Negara anggota berharap dapat memuktamad dan memeterai perjanjian itu tahun depan. Ia akan dilaksanakan apabila enam negara mengesahkannya.

- BERNAMA

Berita Harian X