Rabu, 1 November 2017 | 6:47pm
- Gambar hiasan
- Gambar hiasan

Harga minyak mentah meningkat

SINGAPURA: Harga minyak mentah hari ini meningkat menghampiri paras tertinggi yang dicatatkan baru-baru ini.

Ia berikutan perangkaan menunjukkan Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Petroleum (OPEC) meningkatkan pematuhan terhadap perjanjian pengurangan pengeluaran dan Russia juga dilihat mengekalkan perjanjian itu.

Kontrak hadapan minyak mentah Brent, kontrak penanda aras antarabangsa bagi harga minyak berada pada paras AS$61.32 setong pada 0759 GMT, naik 38 cents atau 0.6 peratus dan menghampiri paras AS$61.41 setong.

Kontrak minyak mentah AS, West Texas Intermediate (WTI) berada pada paras AS$54.95 setong, meningkat satu peratus kepada paras tertinggi baharunya.

Ia meningkat sebanyak 30 peratus sejak paras rendah 2017 yang dicatatkan pada Jun.

Pasaran minyak fizikal juga kukuh, dengan pengeksport terkemuka, Arab Saudi dijangka menaikkan harga minyak mentah bagi Disember kepada pelanggannya di Asia ke paras yang pernah dilihat pada 2013 atau 2014, demikian mengikut kaji selidik Reuters.

Harga jualan rasmi Arab Light bagi Disember sekurang-kurangnya kepada 90 cents setong di atas paras Oman/Dubai, demikian mengikut kaji selidik lima syarikat penapis.

Ia akan menjadi premium tertinggi sejak AS$1.65 pada September 2014, demikian mengikut perangkaan Reuters.

Sentimen kukuh itu dipacu oleh usaha tahun ini yang diterajui OPEC dan Russia untuk mengekalkan kira-kira 1.8 juta tong sehari (bpd) dalam pengeluaran minyak untuk mengetatkan pasaran.

Ekoran pematuhan rendah ketika fasa pertama tahun ini, bekalan berkurangan sejak itu.

Pengeluaran OPEC bagi Oktober jatuh sebanyak 80,000 tong sehari kepada 32.78 juta tong sehari, meletakkan kepatuhan terhadap mengekang bekalan pada 92 peratus, meningkat berbanding 86 peratus pada September.

Russia juga dilihat mematuhi pengurangan pengeluarannya sekitar 300,000 tong sehari di bawah paras Oktober 2016 sebanyak 11.247 juta bpd. - Reuters

Berita Harian X