Isnin, 30 Oktober 2017 | 8:37pm
- Foto Ramdzan Masiam
- Foto Ramdzan Masiam

Ringgit ditutup tinggi berbanding dolar US

KUALA LUMPUR: Ringgit ditutup lebih tinggi berbanding dolar US hari ini, disokong oleh pro-pertumbuhan Bajet 2018 yang dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, Jumaat lalu.

Dianggap Ibu Segala Bajet, peniaga berkata, cadangan bajet itu menarik dan dapat menarik lebih ramai pelabur. 

Pada jam 6 petang, unit tempatan diniagakan pada 4.2360/2390 berbanding 4.2410/2430 bagi setiap dolar US pada Jumaat. 

Bajet itu menyaksikan pertambahan peruntukan RM19.45 bilion kepada RM280.25 bilion berbanding RM260.8 bilion pada Bajet 2017.

"Beberapa pengumuman adalah menarik bagi aliran masuk dana, seperti keputusan untuk merangsang pelaburan melalui pengecualian cukai ke atas sukuk hijau dan pengenalan sistem perdagangan alternatif, yang bertujuan memacu pertumbuhan pasaran modal," katanya kepada Bernama.

Bagaimanapun, peniaga masih berniaga secara berhati-hati menjelang mesyuarat dasar Rizab Persekutuan AS.

"Rizab Persekutuan dijangka tidak mengubah kadar faedah. 

"Ini akan menyebabkan turun naik dalam mata wang serantau, termasuk ringgit, kerana lebih banyak minat akan beralih ke rantau ini," tambahnya.

 

Ringgit, bagaimanapun, ditutup bercampur-campur berbanding mata wang utama lain. 

 

Berbanding dolar Singapura, ringgit merosot kepada 3.1069/1101 daripada 3.0990/0016 Jumaat lepas dan berbanding yen, ia susut kepada 3.7282/7312 daripada 3.7189/7216.

 

Ringgit menurun berbanding pound Britain kepada 5.5750/5798 daripada 5.5532/5579 dan berbanding euro ia meningkat kepada 4.9290/9342 daripada 4.9340/9367 sebelum ini. - BERNAMA

Berita Harian X