Jumaat, 27 Oktober 2017 | 9:33pm

Ringgit rendah berbanding dolar AS

KUALA LUMPUR: Ringgit ditutup rendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) hari ini walaupun terdapat unsur positif dalam pembentangan Bajet 2018 hari ini, apabila dolar terus mengukuh ekoran kemungkinan peningkatan kadar faedah AS, kata seorang peniaga.

Pada jam 6 petang, unit tempatan didagangkan pada 4.2410/2430 berbanding dolar AS daripada 4.2325/2355 pada Khamis.

Ketua Pedagang OANDA Asia Pasifik, Stephen Innes berkata unit tempatan dan pasaran bon kekal berisiko susulan minat menurun ekoran dasar terkini Bank Pusat Eropah , yang mendorong dolar AS untuk mengukuh.

Dalam negara, Innes memberitahu bahawa pengumuman Bajet 2018 adalah bajet yang positif kerana kerajaan mahu meningkatkan isu kos hidup dengan meningkatkan manfaat kepada kakitangan awam selain manfaat pesaraan dan pada masa yang sama meningkatkan subsidi dan bantuan sosial untuk isi rumah berpendapatan rendah.

Bajet 2018 diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, yang juga Menteri Kewangan di Dewan Rakyat hari ini.

Sementara itu, ringgit didagangkan tinggi berbanding mata wang utama yang lain.

Unit tempatan meningkat berbanding yen kepada 3.7189/7216 daripada 3.7228/7268 pada Khamis dan mengukuh berbanding dolar Singapura kepada 3.0990/0016 daripada 3.1110/1146 semalam.

Ia mengukuh berbanding euro kepada 4.9340/9367 daripada 4.9973/9025 pada Khamis dan mengukuh berbanding pound British kepada 5.5532/5579 daripada 5.5941/5998. - BERNAMA

Berita Harian X