Rabu, 25 Oktober 2017 | 12:16am
MINYAK susut pada paras AS$57 setong hari ini. - Foto hiasan
MINYAK susut pada paras AS$57 setong hari ini. - Foto hiasan

Minyak susut pada paras AS$57 setong hari ini

LONDON: Minyak susut pada paras AS$57 setong hari ini, apabila aliran minyak mentah menerusi saluran paip di utara Iraq ke Ceyhan di Turki meningkat, mengimbangi jangkaan kejatuhan dalam inventori minyak mentah Amerika Syarikat (AS).

Pengeluaran minyak di saluran paip berkenaan meningkat kepada 300,000 tong sehari (bpd) pada hari ini, menurut sumber perkapalan, yang mana turut menambah keuntungan pada Isnin.

Pengeluaran jatuh dari 600,000 bpd minggu lalu apabila pasukan Iraq menguasai medan minyak daripada pejuang Kurdish.

"Peningkatan adalah minimum dan jauh daripada paras normal 600,000 bpd, namun pasaran mengambilnya sebagai perkembangan positif jangka panjang bagi bekalan minyak," kata Tamas Varga, broker minyak PVM, merujuk kepada keuntungan aliran pada Isnin.

Minyak mentah Brent, penanda aras antarabangsa, susut 16 cents pada AS$57.21 pada 0853 GMT.

Ia mencecah AS$59.49 pada 26 September, iaitu paras tertinggi sejak Julai 2015.

Minyak mentah AS jatuh 12 cents kepada AS$51.78.

Gangguan eksport dari Iraq, pengeluar kedua terbesar dalam OPEC, telah membantu menyokong pasaran, selain menambah kepada pemotongan bekalan yang diusahakan OPEC sejak Januari bagi mengurangkan lebihan bekalan. - REUTERS

Berita Harian X