Selasa, 24 Oktober 2017 | 8:22pm
- Gambar hiasan/Ramdzan Masiam
- Gambar hiasan/Ramdzan Masiam

Ringgit ditutup tinggi berbanding dolar AS

KUALA LUMPUR: Ringgit ditutup tinggi berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) hari ini, seiring dengan kelemahan dolar ketika pelabur mengalihkan tumpuan terhadap pencalonan Pengerusi Rizab Persekutuan AS (Fed), kata seorang peniaga.

Pada 6 petang, ringgit diniagakan pada 4.2320/2350 berbanding dolar AS daripada 4.2360/2390 pada Isnin.

Ketua Dagangan OANDA bagi Asia Pasifik, Stephen Innes, berkata Presiden Donald Trump semakin hampir untuk memutuskan siapa calon yang akan menyandang jawatan sebagai Pengerusi Fed.

"Gabenor Fed, Jerome Powell dan ahli ekonomi Stanford University, John Taylor mendapat sokongan pasaran ketika Pengerusi Fed, Janet Yellen sebaliknya terus terpinggir," kata Innes.

Beliau berkata, pelabur juga memberi perhatian terhadap mesyuarat Bank Pusat Eropah pada Khamis yang dijangka mengumumkan pelaksanaan pengurangan lembaran imbangannya.

"Secara keseluruhannya, pelabur akan terus berhati-hati terhadap (perkembangan) dolar AS dan kadar faedah negara itu," katanya.

Sementara itu, ringgit kebanyakannya ditutup rendah berbanding kumpulan mata wang utama.

Unit tempatan itu susut berbanding yen kepada 3.7234/7267 daripada 3.7174/7204 pada Isnin dan merosot berbanding euro kepada 4.9773/9825 daripada 4.9709/9749, semalam.

Ia juga rendah berbanding dolar Singapura kepada 3.1077/1110 daripada 3.1069/1103 pada Isnin namun meningkat berbanding pound Britain kepada 5.5769/5826 daripada 5.5771/5828, semalam. - BERNAMA

Berita Harian X