Selasa, 17 Oktober 2017 | 9:19pm
DUTA Besar Norway ke Malaysia, Gunn Jorid Roset. - Foto Halim Salleh
DUTA Besar Norway ke Malaysia, Gunn Jorid Roset. - Foto Halim Salleh

Pelaburan Norway di Malaysia dijangka meningkat

KUALA LUMPUR: Jumlah syarikat Norway di Malaysia dijangka meningkat dalam tempoh dua hingga tiga tahun daripada 50 ketika ini.

Duta Besar Norway ke Malaysia, Gunn Jorid Roset, berkata ini berikutan Malaysia dilihat sebagai pasaran penting bagi negara Scandinavia, terutamanya dalam sektor minyak dan gas.

Roset berkata, minat firma Norway melabur di Malaysia kekal kukuh dan perdagangan dua hala juga diunjur dalam momentum meningkat.

"Kami berharap akan terus menyaksikan bukan saja kehadiran Norway dalam sektor minyak dan gas, tetapi juga dalam sektor baharu yang terbuka untuk syarikat kami.

"Ekonomi digital adalah bidang yang kami harap dapat menyaksikan peningkatan," katanya kepada BERNAMA.

Firma Norway mempunyai pelaburan langsung lebih dua bilion Krone Norway di Malaysia.

Roset, yang secara rasmi mula bertugas di sini Ogos tahun ini, berkata firma minyak dan gas Norway terpaksa mengurangkan skala operasi mereka berikutan persekitaran yang tidak menentu sejak kebelakangan ini, yang menyebabkan pengurangan dalam projek dan jumlah pekerja.

"Bagaimanapun, dengan harga minyak yang stabil kira-kira AS$50 (AS$1 > RM4.22), kami mendapati firma ini semakin yakin terhadap masa depan.

"Walaupun mereka terpaksa mengecilkan (operasi), mereka perlu kekal di sini dengan pelaburan dan kecekapan teras.

"Isyarat yang saya terima daripada mereka di sini ialah mereka tetap komited untuk berada di Malaysia.

"Mereka pada kedudukan yang baik di Malaysia untuk mengambil bahagian dalam sebarang kemajuan industri," katanya.

Roset berkata, perdagangan Norway-Malaysia akan kekal pada tahap yang tinggi pada masa depan dengan jumlah nilai import Norway dari Malaysia setakat Ogos 2017 sebanyak 1.8 bilion Krone Norway.

Sementara itu, jumlah nilai eksport ke Malaysia juga menunjukkan arah aliran positif, berjumlah 1.6 bilion Krone Norway.

"Menurut data rasmi kerajaan, Norway mengimport barangan dari Malaysia bernilai 2.35 bilion Krone Norway, manakala eksport ke Malaysia bernilai 1.65 bilion Krone Norway," katanya.

Import utama dari Malaysia pada 2016 adalah barangan pembuatan seperti elektronik, pakaian, instrumen teknikal dan mesin untuk kegunaan industri.

Eksport utama Norway ke Malaysia pula adalah makanan laut, mineral dan mesin/peralatan, yang digunakan dalam sektor minyak dan gas. - BERNAMA

Berita Harian X