Selasa, 17 Oktober 2017 | 10:44am

Ringgit dibuka rendah

KUALA LUMPUR: Ringgit dibuka rendah dalam dagangan awal hari ini berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) yang cergas semula berikutan kekurangan permintaan, kata peniaga.

Pada jam 9.15 pagi, unit tempatan berada pada 4.2220/2240 berbanding dolar AS daripada 4.2155/2185 pada Isnin.

Seorang peniaga berkata, pelabur menunggu lebih banyak petunjuk bagi mencari hala tuju pasaran.

"Peserta pasaran mungkin memilih menyimpan keuntungan susulan lonjakan ringgit semalam apabila pasaran akan ditutup esok sempena cuti perayaan Deepavali," katanya.

Sementara itu, ringgit tinggi berbanding kebanyakan mata wang utama lain kecuali euro.

Unit tempatan meningkat berbanding yen kepada 3.7623/7644 daripada 3.7699/7729 pada Isnin dan naik sedikit berbanding dolar Singapura kepada 3.1170/1194 daripada 3.1171/1197 semalam.

Ringgit naik berbanding pound British kepada 5.5937/5972 daripada 5.6054/6098 pada Isnin. Ia susut berbanding euro kepada 4.9739/9780 daripada 4.9692/9745 sebelumnya. - BERNAMA

Berita Harian X