Rabu, 11 Oktober 2017 | 3:44pm
- Foto Reuters
- Foto Reuters

Pfizer timbang jual perniagaan penjagaan kesihatan bernilai AS$15 bilion

NEW YORK: Pfizer berkata ia menimbang melupuskan perniagaan penjagaan kesihatannya yang dianggarkan bernilai $15 bilion (RM63.24 bilion).

Langkah itu dibuat susulan langkah Merck KGaA dari Jerman yang juga meninjau melupuskan produk bukan preskripsi, yang merangkumi jenama seperti vitamin Seven Seas, dengan anggaran nilai AS$4.5 bilion (RM18.97 bilion).

Sungguhpun produk rawatan pengguna yang dijual memiliki margin keuntungan rendah berbanding ubat preskripsi, ia lumrahnya adalah jenama yang bertahan lama dengan memiliki pelanggan setia.

Perniagaan penjagaan kesihatan pengguna Pfizer, dengan barisan jenama di bawahnya seperti Advil dan Chapstick, menjana pendapatan sekitar AS$3.4 bilion (RM14.33 bilion) pada 2016.

Pakar industri berkata, ia berpotensi mencecah jualan empat kali ganda, membayangkan nilai potensi sekitar AS$14 bilion (RM59.03 bilion), sungguhpun dua bank terbabit dalam sektor penjagaan kesihatan berkata, Pfizer mensasar menjual pada harga sekurang-kurangnya AS$15 bilion (RM63.24 bilion).

Antara syarikat yang dikatakan berminat membeli segmen perniagaan Pfizer itu ialah Nestle.

Syarikat lain yang dikatakan berkemungkinan turut berminat ialah Reckitt Benckiser, Procter & Gamble, GlaxoSmithKline, Johnson & Johnson dan Abbott.

Bayer dan Sanofi dijangka kurang berminat untuk membida mengambil kira masing-masing sibuk menyerap kemasukan Monsanto dan Boehringer Ingelheim. - Reuters

Berita Harian X