Selasa, 3 Oktober 2017 | 2:02pm

Bursa Malaysia bercampur-campur pada tengah hari

KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia bercampur-campur pada tengah hari, dengan indeks penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) ditutup tinggi susulan aktiviti belian saham berharga rendah.

Pada 12.30 tengah hari, FBM KLCI meningkat 2.81 mata kepada 1,757.59 berbanding 1,754.78 pada penutupan Isnin.

Indeks dibuka 1.73 mata lebih tinggi pada 1,756.51 dan bergerak antara 1,754.73 dan 1,758.6 sepanjang dagangan pagi.

Pasaran secara menyeluruh menyaksikan kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 346 berbanding 316 manakala 362 kaunter tidak berubah, 812 tidak diniagakan dan 18 yang lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 1.14 bilion saham bernilai RM862.15 juta.

Hong Leong Investment Bank berkata, tekanan jualan oleh dana asing dijangka berakhir dan FBM KLCI akan melantun melepasi paras sokongan 1,750 dan dijangkakan terus merangsang aktiviti belian saham berharga rendah.

"Kami juga menjangkakan limpahan positif dari pasaran luar negara dalam pasaran tempatan," katanya dalam nota kajiannya hari ini.

Bagi kaunter wajaran tinggi, Genting Malaysia melonjak 21 sen kepada RM5.51, Axiata meningkat dua sen kepada RM5.28, IHH Healthcare menambah dua sen kepada RM5.72, Hong Leong Financial Group menokok 14 sen kepada RM16.64 and AMMB Holdings meningkat lima sen kepada RM4.45.

Sime Darby meningkat satu sen kepada RM9.01, Maybank dan Public Bank masing-masing kekal pada RM9.55 dan RM20.58, manakala TNB susut dua sen kepada RM14.30 danPetronas Chemicals turun satu sen kepada RM7.29.

Antara kaunter aktif, MLabs dan Hubline masing-masing meningkat setengah sen kepada 11 sen, Tiger Synergy dan Vizione Holdings tidak berubah pada 5.5 sen dan 15 sen, EA Holdings susut satu sen kepada 3.5 sen manakala Hibiscus Petroleum merosot setengah sen kepada 61.5 sen.

Sementara itu, Indeks FBM Emas meningkat 10.72 mata kepada 12,524.32, Indeks FBMT100 meningkat 9.31 mata kepada 12,184.26 dan FBM 70 susut 26.55 mata kepada 14,980.19.

Indeks FBM Emas Shariah turun 9.39 mata kepada 12,754.19 dan FBM Ace susut 6.9 mata kepada 6,550.26.

Mengikut sektor, Indeks Perladangan meningkat 14.67 mata kepada 7,879.99, Indeks Perusahaan menokok 1.5 mata kepada 3,195.46 manakala Indeks Kewangan meningkat 18.15 mata kepada 16,503.49. -- BERNAMA

Berita Harian X