Selasa, 29 Ogos 2017 | 2:26pm

FBM KLCI ditutup rendah tengah hari

KUALA LUMPUR: Penurunan dalam kebanyakan kaunter wajaran tinggi menyeret turun petunjuk pasaran FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) untuk ditutup rendah pada tengah hari ini.

Pada 12.30 tengah hari, FBM KLCI susut 8.09 mata kepada 1,761.40, selepas bergerak antara paras 1,756.92 dan 1,767.23.

Ia dibuka 2.62 mata lebih rendah kepada 1,766.87 berbanding 1,769.49 pada Isnin.

Keseluruhannya, suasana pasaran negatif dengan kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 557 berbanding 195 dengan 311 kaunter tidak berubah, 761 tidak diniagakan dan 46 yang lain digantung.

Dagangan dalam seluruh bursa kecil, dengan jumlah dagangan hanya sebanyak 690.5 juta saham bernilai RM758.87 juta.

Pengurusan Saham Pelaburan Maybank Investment Bank Bhd, Teng Sew Ching berkata bursa tempatan dijangka meneruskan dagangan dalam segmen negatif sepanjang hari ini.

Maybank Kim Eng, dalam edisi pagi "Kopi-O" berkata, penurunan pasaran Amerika Syarikat (AS) semalaman, ditambah dengan kebimbangan yang memuncak semula berhubung ketegangan AS-Korea Utara telah menjejaskan sentimen pelabur.

"Kami percaya sentimen kekal lengang sepanjang minggu dagangan singkat ini," katanya.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank turun 11 sen kepada RM9.49, Tenaga dan PBBank tidak berubah masing-masing pada RM14.32 dan RM20.58, Sime susut sembilan sen kepada RM9 dan CIMB dan PChem kedua-duanya turun enam sen setiap satu masing-masing kepada RM6.72 dan RM7.13.

Dalam kalangan kaunter rugi, Panamy berkurangan 50 sen kepada RM38.20, TimeCom turun 26 sen kepada RM9.40, AeonCR jatuh 22 sen kepada RM12.48, manakala HLBank dan UMW kedua-duanya susut 20 sen setiap satu masing-masing kepada RM15.20 dan RM5.55.

Indeks FBM Emas berkurangan 71.17 mata kepada 12,527.41, Indeks FBMT 100 turun 66.7 mata kepada 12,195.84 dan Indeks FBM Emas Shariah susut 87.27 mata kepada 12,691.07.

FBM 70 turun 121.88 mata kepada 14,938.25 dan FBM Ace berkurangan 64.52 mata kepada 6,544.48.

Mengikut sektor, Indeks Perusahaan susut 13.77 mata kepada 3,190.22, Indeks Kewangan turun 120.50 mata kepada 16,597.53 dan Indeks Perladangan jatuh 13.07 mata kepada 7,828.79. - BERNAMA

Berita Harian X