Rabu, 16 Ogos 2017 | 7:06pm
ZALMAN Aefendy Zainal Abidin (kiri) melancarkan plan internet baru Celcom First di Yellow Brick Road. - Foto Muhd Zaaba Zakeria
ZALMAN Aefendy Zainal Abidin (kiri) melancarkan plan internet baru Celcom First di Yellow Brick Road. - Foto Muhd Zaaba Zakeria

Celcom optimis pengguna pascabayar naik 30 peratus

KUALA LUMPUR: Celcom Axiata Bhd, menyasarkan pelanggan pascabayar akan meningkat sebanyak 30 peratus menerusi pengenalan pelan baharu Celcom FIRST iaitu FIRST Gold Supreme dan FIRST Platinum Plus.

Ketua Pegawai Pemasaran, Zalman Aefendy Zainal Abidin, berkata Celcom kini mempunyai 2.9 juta pengguna pascabayar .

Katanya, pelan Celcom FIRST sudah diperbaharui untuk memberi pengalaman digital dan penstriman video terbaik tanpa kebimbangan akan kehabisan internet.

"Dengan internet yang begitu mewah, dan dipadankan dengan cara termudah untuk memiliki telefon bimbit terkini dalam pasaran, serta disokong rangkaian Lightning Fast LTE Celcom, pelanggan tidak perlu mencari-cari lagi pelan yang dapat memenuhi keperluan digital mereka," katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis pelancaran produk terbaharu itu di sini hari ini.

Pelanggan boleh memilih antara dua pelan terbaharu Celcom FIRST iaitu:

. FIRST Gold Supreme - RM128 (25GB harian) + 25GB hujung minggu + 25GB Video Walla Percuma)

. FIRST Platinum Plus - RM188 (100GB internet setiap hari + 100GB Video Walla Percuma)

Zalman berkata, pelan FIRST Platinum terkini untuk pelanggan baharu dan sedia ada pula sudah diperbaharui kepada RM148 bulanan (30GB harian + 30GB hujung minggu), dengan tambahan 30GB Video Walla Percuma.

"Semua pelan FIRST, termasuk FIRST Gold pada RM80 (10GB harian + 10GB hujung minggu), dan FIRST Gold Plus pada RM98 (20GB harian + 20GB hujung minggu) ditawarkan bersama panggilan tanpa had, WhatsApp dan WeChat, serta penstriman muzik tanpa had dengan Yonder Music," katanya.

Sempena sambutan hari Kemerdekaan ke-60, Celcom memperkenalkan dua program terkini bagi membolehkan pelanggan memiliki telefon pintar baharu dengan lebih mudah.

Sembilan model telefon pintar percuma yang menjadi pilihan ramai seperti Huawei P10, iPhone 6 32GB, Samsung Galaxy J7 Pro, Oppo A77 dan banyak lagi ditawarkan kepada pelanggan.

Bermula 16 Ogos hingga 30 September, pelanggan yang mendaftar dengan pelan FIRST Gold Plus, FIRST Gold Supreme, FIRST Platinum dan FIRST Platinum Plus boleh memilih satu daripada model ditawarkan.

Pelanggan FIRST Platinum Plus pula akan menikmati diskaun sehingga 55 peratus bagi siri Samsung S8 dan iPhone 7.

Celcom EasyPhone juga membolehkan pelanggan memiliki telefon pintar pada harga berpatutan.

Kini, sesiapa saja boleh memiliki peranti terbaharu daripada 30 pilihan telefon pintar yang disediakan secara mudah dengan ansuran bulanan serendah RM30 sebulan, katanya.

FIRST adalah jenama pascabayar Celcom yang menawarkan pelan internet terbesar.

Celcom adalah penyedia rangkaian data terkemuka di Malaysia dengan l0.2 juta pelanggan.

Berita Harian X