Rabu, 16 Ogos 2017 | 10:25am
- Gambar hiasan
- Gambar hiasan

PETRONAS jangka lebihan bekalan LNG hingga 2023

KUALA LUMPUR: PETRONAS menjangkakan lebihan bekalan dalam pasaran gas asli cecair (LNG) global akan kekal sehingga 2023, kata ketua eksekutifnya semalam.

Peningkatan pengeluaran LNG sejak dua tahun lalu khususnya dari Australia dan Amerika Syarikat (AS) mencetuskan lebihan bekalan yang melangkaui permintaan sekali gus menjejaskan harga dagangannya.

Harga LNG Asia kini turun sekitar 70 peratus berbanding awal 2014.

PETRONAS, mendapat perhatian dunia apabila mengumumkan keputusan muktamad untuk tidak meneruskan rancangannya dalam projek terminal LNG di wilayah barat Kanada bernilai AS$29 bilion, bulan lalu.

Keputusan itu susulan hasil kajiannya yang mendapati keadaan pasaran kini meletakkan projek berkenaan tidak ekonomi.

"Persekitaran tidak menentu ketika ini, namun kami menjangkakan ia menjelang 2023 (untuk pasaran LNG lebih seimbang)," kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PETRONAS, Datuk Wan Zulkiflee Wan Ariffin, kepada Reuters dalam satu temu bual.

Katanya, pasaran dijangka akan lebih kukuh apabila berlaku "permintaan bagi ekonomi sedang membangun mula menyaksikan pertumbuhan...kerana harga yang rendah ketika ini bermakna akan berlaku peningkatan" bagi bekalan LNG.

PETRONAS adalah pengurus tunggal bagi rizab minyak dan gas (O&G) Malaysia, menjadikannya pengeksport LNG ketiga terbesar selepas Qatar dan Australia.

"Syarikat itu kini mencari pembeli baharu bagi produk keluaran LNG miliknya, selain daripada pelanggan tetapnya di Jepun dan Korea Selatan.

"Negara di sebelah timur adalah pasaran tradisional kami, namun kini kami meninjau pasaran di benua India, Bangladesh dan Pakistan.

"Di bahagian selatan Asia adalah pasaran sedang membangun yang berpotensi untuk LNG, ditambah dengan Pakistan dan Bangladesh yang akan menyertai India sebagai pengguna besar, ini akan membantu mengurangkan sebahagian daripada lebihan bekalan global.

"Bagi kedua-dua China dan India, LNG mewakili kurang daripada 10 peratus berbanding keperluan tenaga mereka. Maka kami kini melihat terdapatnya potensi pertumbuhan di sini," katanya. - Reuters

Berita Harian X