Jumaat, 11 Ogos 2017 | 6:28pm

Prestasi ekonomi Singapura suku kedua atasi jangkaan

SINGAPURA: Ekonomi Singapura berkembang lebih pantas berbanding unjuran pada suku kedua dan lebih daripada dijangkakan penganalisis, disokong oleh pengembangan dalam sektor perkhidmatan dan pengilangan.

Ekonomi negara itu berkembang 2.2 peratus pada April-Jun berbanding tiga bulan sebelumnya berdasarkan pelarasan secara tahunan dan bermusim, kata Kementerian Perdagangan dan Industri Singapura (MTI) dalam satu kenyataan hari ini.

Ia lebih tinggi berbanding dengan unjuran yang dibuat kerajaan negara itu pada bulan lalu pertumbuhan 0.4 peratus, yang mana ahli ekonomi pula mengunjurkan peningkatan sederhana kepada 0.5 peratus.

Singapura dan ekonomi Asia yang bergantung kepada perdagangan lain meningkat tahun ini susulan kemajuan dalam permintaan global, terutama bagi produk dan komponen elektronik seperti semikonduktor.

Perangkaan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) terkini juga memperlihatkan tanda bahawa pertumbuhan ekonomi Singapura lebih baik daripada diunjurkan, dengan pengukuhan dilihat dalam sektor lain yang dianggap lemah.

Industri perkhidmatan berkembang 3.3 peratus berbanding suku sebelumnya.

"Bagi separuh kedua tahun ini, kita akan melihat momentum pemulihan perkhidmatan sejajar dengan pengukuhan keyakinan mengenai prospek pertumbuhan global dan sentimen domestik," kata Ketua Penyelidikan dan Strategi OCBC Bank, Selena Ling.

MTI berkata, bank pusat mengunjurkan bahawa pertumbuhan KDNK bagi keseluruhan 2017 adalah sekitar 2.5 peratus, dan menyemak semula unjuran rasmi pertumbuhan keseluruhan tahunan kepada 2.0 hingga 3.0 peratus berbanding 1.0 hingga 3.0 peratus sebelum ini.

Pada awal minggu ini, Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong berkata bahawa beliau mengunjurkan ekonomi Singapura akan berkembang sekitar 2.5 peratus pada 2017.

KDNK Singapura dijangka berkembang 2.9 peratus pada suku kedua berbanding tempoh sama tahun sebelumnya.

Jangkaan kerajaan negara itu sebelum ini adalah pertumbuhan 2.5 peratus, sementara ahli ekonomi dalam pungutan pendapat yang dijalankan Reuters mengunjurkan pertumbuhan 2.6 peratus.

Dengan risiko global seperti kemungkinan perlindungan dalam perdagangan, bank pusat Singapura dilihat tidak tergesa-gesa untuk mengetatkan dasar monetari. - Reuters

Berita Harian X