Selasa, 8 Ogos 2017 | 8:26pm

Ringgit kian pulih, selari ekonomi negara

KUALA LUMPUR: Nilai ringgit akan beransur pulih dari semasa ke semasa, selari dengan pertumbuhan ekonomi Malaysia yang dijangka berkembang pada kadar lebih kukuh.

Mata wang tempatan itu kekal stabil pada paras RM4.280 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada minggu pertama bulan ini, selepas mengukuh sebanyak 0.4 peratus sepanjang Julai.

RHB Investment Bank Bhd (RHBIB) berkata, pengukuhan ringgit disokong oleh kelemahan dolar AS berikutan Rizab Persekutuan (Fed) mengekalkan kadar faedah semasa pada mesyuaratnya, 26 Julai lalu.

"Pada masa sama, sentimen ke atas dolar juga lemah kerana keyakinan yang berkurangan terhadap keupayaan Presiden AS, Donald Trump untuk meneruskan pembaharuan fiskalnya.

"Kami yakin ringgit mampu melangkaui paras jangkaan terendahnya sebelum ini.

"Ia disebabkan oleh ketidakpastian selepas Fed memperkenalkan langkah untuk mengekang spekulasi oleh peniaga luar pesisir, yang menunjukkan peningkatan kebelakangan ini," kata RHIB dalam nota penyelidikannya.

Menurut RHBIB lagi, rizab tukaran asing yang meneruskan peningkatan pada Julai turut menyokong kepada kestabilan ringgit.

"Setakat 31 Julai 2017, rizab tukaran asing meningkat sebanyak AS$0.5 bilion kepada AS$99.4 bilion, daripada AS$98.9 bilion yang dicatatkan pada Jun.

"Ia diterjemahkan menerusi aliran masuk dana bersih asing ke pasaran ekuiti Malaysia pada Julai, yang mana pelabur asing telah membuat pembelian untuk tempoh tujuh bulan berturut-turut dengan keseluruhan belian berjumlah RM10.8 bilion, berakhir 31 Julai," katanya.

RHBIB berkata, mengikut terma ringgit, rizab tukaran wang asing Malaysia meningkat RM2.2 bilion kepada RM427 bilion dalam tempoh sama.

"Pada paras semasa, rizab tukaran wang asing mencukupi untuk membiayai 7.9 bulan import tertangguh, lebih rendah berbanding 8.1 bulan bagi tahun sebelumnya dan 1.1 kali hutang luar negara jangka pendek, lebih rendah kepada 1.2 kali tahun lalu," katanya.

Mengulas lanjut, RHBIB berkata, aliran turun naik ringgit juga dijangka kekal dalam tempoh terdekat, dipengaruhi dengan jangkaan kenaikan kadar faedah oleh Fed dan lembaran imbangan AS yang menyusut.

"Pada masa sama, ketidaktentuan pegangan asing terhadap instrumen pendapatan tetap besar dan turun naik harga minyak yang tidak menentu mempengaruhi aliran ringgit," katanya.

Berita Harian X