Selasa, 25 Julai 2017 | 9:08am

Harga minyak naik lebih satu peratus

NEW YORK: Harga minyak meningkat lebih satu peratus semalam selepas pengeluar utama OPEC, Arab Saudi berjanji untuk mengurangkan eksport bulan Ogos bagi membantu menyelesaikan masalah lebihan bekalan minyak mentah global.

Menteri Tenaga Arab Saudi, Khalid al-Falih, berkata negaranya akan mengehadkan eksport minyak mentah kepada 6.6 juta tong sehari pada Ogos, hampir satu juta tong sehari lebih rendah berbanding tahun lalu.

Menteri Tenaga Rusia, Alexander Novak juga turut memberitahu pemberita bahawa tambahan 200,000 tong sehari akan dikurangkan daripada pasaran jika kepatuhan kepada perjanjian global mencapai tahap 100 peratus.

Niaga hadapan Brent ditutup naik 54 cents atau 1.1 peratus kepada AS$48.60 setong. A.S. West Texas Intermediate (WTI) pula ditutup naik 57 cents atau hampir 1.3 peratus kepada AS$46.34 setong.

Kedua-dua menteri tenaga berkenaan berada di Saint Petersburg bagi menghadiri perjumpaan negara anggota OPEC dan pengeluar lain.

Barisan menteri berbincang mengenai perjanjian terdahulu untuk mengurangkan pengeluaran sebanyak 1.8 juta tong sehari daripada Januari 2017 hingga Mac 2018.

Falih berkata, rakan OPEC dan bukan OPEC komited untuk memanjangkan perjanjian berkenaan jika perlu tetapi akan meminta negara yang tidak mematuhi perjanjian supaya mematuhinya.

Anggota OPEC, Nigeria dan Libya telah dikecualikan daripada pengurangan bekalan itu dan pemerhati pasaran terus bimbang dengan pengeluaran kedua-dua negara itu yang boleh mengimbangi kesan pengurangan global.

Sementara itu, di Amerika Syarikat, jumlah pelantar terus meningkat kepada 764 dalam minggu terbaharu, berbanding 371 pelantar tahun lalu. - Reuters

Berita Harian X