Khamis, 18 Ogos 2022 | 7:01pm
Jumlah pekerja di negara ini meningkat kepada 15.7 juta orang -NSTP/Genes Gulitah
Jumlah pekerja di negara ini meningkat kepada 15.7 juta orang -NSTP/Genes Gulitah

Produktiviti pekerja di Malaysia meningkat

KUALA LUMPUR: Produktiviti buruh Malaysia seperti yang diukur dengan nilai ditambah bagi setiap pekerja pada suku kedua tahun ini meningkat 5.5 peratus kepada RM23,332 setiap pekerja berbanding RM23,124 setiap pekerja pada suku sebelumnya.

Mengikut laporan Produktiviti Buruh Suku Kedua 2022 yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) hari ini, pekerja meningkat sebanyak 3.2 peratus kepada 15.7 juta orang.

"Produktiviti buruh dari segi nilai ditambah bagi setiap jam bekerja meningkat 1.3 peratus tahun ke tahun, manakala jumlah jam bekerja menokok 7.5 peratus kepada 8.9 bilion jam.

"Ini seiring dengan peningkatan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) negara pada 8.9 peratus berbanding lima peratus pada suku sebelum ini," menurut laporan itu.

Mengikut aktiviti ekonomi, sektor yang mencatatkan pertumbuhan positif bagi produktiviti buruh bagi setiap pekerja pada suku itu adalah perkhidmatan, pembuatan dan pembinaan dengan masing-masing meningkat 7.5 peratus, empat peratus dan 2.9 peratus.

Hanya sektor perkhidmatan mencatatkan pertumbuhan sebanyak empat peratus dari segi produktiviti buruh bagi setiap jam bekerja, manakala semua sektor meraih peningkatan jumlah jam bekerja.

"Sementara itu, peningkatan bilangan bekerja terutamanya berlaku dalam sektor pembuatan, perkhidmatan serta perlombongan dan pengkuarian, masing-masing pada 4.9 peratus, 4.2 peratus dan 1.8 peratus," katanya.

-BERNAMA

Berita Harian X