Selasa, 2 Ogos 2022 | 11:19am
Hampir separuh pekerja Malaysia hanya kekal dalam organisasi sedia ada jika mendapat bayaran lebih baik -NSTP/Azhar Ramli
Hampir separuh pekerja Malaysia hanya kekal dalam organisasi sedia ada jika mendapat bayaran lebih baik -NSTP/Azhar Ramli

Satu pertiga rakyat Malaysia mahu cari kerja lain

KUALA LUMPUR: Lebih satu pertiga atau 36 peratus responden Malaysia bercadang untuk berhenti kerja dalam tempoh 12 bulan akan datang, didorong oleh kemahuan untuk mendapatkan gaji lebih tinggi, peluang kerjaya lebih baik dan fleksibiliti kerja di tengah-tengah peningkatan inflasi.

Dapatan yang diperoleh daripada Kaji Selidik Bayangan Semula Pekerjaan EY 2022 itu mendapati, ia turut didorong oleh pasaran pekerjaan yang semakin mengecil dan pertambahan jumlah pekerjaan yang menawarkan cara kerja fleksibel.

Kaji selidik itu, antara yang terbesar seumpamanya, mengambil pandangan lebih daripada 1,500 pemimpin perniagaan dan 17,000 pekerja di 22 negara, termasuk 50 majikan dan 250 pekerja di Malaysia.

Ia menunjukkan bahawa, ketika banyak negara keluar daripada pandemik COVID-19, pekerja mempunyai pengaruh yang lebih besar terhadap majikan dan 'senarai dimahukan' daripada majikan berpotensi juga telah berubah.

Hampir separuh daripada pekerja Malaysia atau 44 peratus dalam kaji selidik itu menyatakan mereka akan kekal di organisasi masing-masing jika mendapat bayaran lebih baik.

26 peratus responden pula menyatakan kemahuan untuk fleksibiliti kerja lebih baik atau bekerja di luar pejabat dan 24 peratus menyatakan kenaikan pangkat ke peranan kepimpinan adalah satu lagi sebab untuk kekal di tempat kerja sekarang.

Walaupun 22 peratus majikan di Malaysia bersetuju bahawa menyediakan peluang perkembangan kerjaya adalah cara untuk mengatasi pekerja berhenti, hanya lapan peratus bersedia untuk menyemak semula daya saing program ganjaran masing-masing.

Menurut kaji selidik tahun lalu, aturan kerja fleksibel, yang menjadi faktor terbesar perpindahan pekerja di Malaysia, kini kurang menjadi pendorong.

Hanya 16 peratus pekerja mahu fleksibiliti kerja dari jauh walaupun majoriti atau 95 peratus mahu bekerja di luar pejabat sekurang-kurangnya dua hari seminggu.

Ini berikutan kebanyakan responden telah pun bekerja dengan syarikat yang menawarkan fleksibiliti sedemikian.

Hanya minoriti majikan atau 16 peratus yang mahu pekerja kembali ke pejabat lima hari seminggu.

Majoriti majikan di Malaysia, atau 72 peratus menyatakan bahawa syarikat sedang aktif menggalakkan model kerja hibrid dalam usaha menarik dan mengekalkan bakat, manakala 64 peratus majikan menyatakan telah membina pelan hibrid untuk kakitangan.

Rakan Kongsi dan Ketua Perkhidmatan Penasihat ASEAN Ernst & Young

Consulting Sdn Bhd, Low Choy Huat, berkata terdapat empat pandangan penting yang boleh diambil tindakan daripada kaji selidik berkenaan.

"Ini termasuk memadatkan minggu kerja jika boleh dilakukan dalam konteks perniagaan. Kedua, melabur dalam program kesejahteraan dan menambah baik ganjaran serta manfaat, selain menangani jurang ekuiti, kerana ini penting bagi nilai pekerja anda.

"Ketiga, terbuka untuk mengambil pekerja luar dari lokasi geografi. Akhir sekali, majikan perlu sentiasa memperbaharui tempat kerja dan membina pengalaman teknologi kerja yang memberikan alat untuk tujuan kerjasama, produktiviti serta pembelajaran," katanya.

Berita Harian X