Khamis, 21 Julai 2022 | 12:45pm
ABD menurunkan unjuran pertumbuhan ekonomi Malaysia kepada 5.8 peratus tahun ini -NSTP/Hairul Anuar Rahim
ABD menurunkan unjuran pertumbuhan ekonomi Malaysia kepada 5.8 peratus tahun ini -NSTP/Hairul Anuar Rahim

ADB turunkan prospek ekonomi Malaysia

KUALA LUMPUR: Bank Pembangunan Asia (ADB) menurunkan unjuran pertumbuhan ekonomi Malaysia kepada 5.8 peratus tahun ini dan 5.1 peratus pada 2023.

Bank pembangunan serantau itu dalam tinjauan pembangunan Asia (ADO) 2022 yang dikeluarkan semalam berkata, ketidaktentuan yang meningkat dan pertumbuhan global lebih lemah telah melemahkan prospek negara ini.

Katanya, pertumbuhan 5.0 peratus pada suku pertama 2022 disokong oleh penggunaan swasta yang kukuh dan peningkatan bantuan kerajaan melalui program bantuan keluarga Bantuan Keluarga Malaysia (BKM).

"Namun, tahap keyakinan perniagaan dan Indeks Pengurus Pembelian (PMI) terus menyederhana seiring dengan prospek global yang lebih lemah dan gangguan bekalan dari bandar di China yang berada dalam sekatan pergerakan bagi menangani wabak COVID-19.

"Pertumbuhan (sektor) pertanian kekal kecil pada suku pertama disebabkan keadaan cuaca buruk dan kejutan kos input daripada perang di Ukraine," katanya.

ADB berkata, industri pelancongan mengalami pemulihan yang perlahan, dengan ketibaan pelancong tahun ini dijangka hanya satu pertiga daripada tahap sebelum pandemik meskipun Malaysia telah membuka semula sempadannya kepada pelawat antarabangsa pada April.

Sementara itu, ADB turut menurunkan unjuran pertumbuhan ekonomi bagi negara membangun Asia dan Pasifik kepada 4.6 peratus tahun ini susulan perkembangan lebih perlahan di China, pengetatan monetari yang lebih agresif dalam ekonomi negara maju serta kesan pencerobohan berterusan Russia ke atas Ukraine.

"Semakan prospek pertumbuhan ekonomi ini lebih rendah berbanding 5.2 peratus yang diumumkan ADB pada April," katanya.

ADB menaikkan unjuran inflasi di rantau ini, di tengah-tengah harga makanan dan bahan api yang lebih tinggi.

"Negara membangun Asia dan Pasifik sedang meneruskan pemulihannya daripada COVID-19. Banyak negara melonggarkan sekatan pergerakan yang telah mengukuhkan aktiviti ekonomi.

"Bagaimanapun, pertumbuhan menjadi perlahan di China, ekonomi terbesar di rantau ini disebabkan gangguan daripada sekatan baharu COVID-19, serta permintaan global yang lebih lemah," katanya.

Berita Harian X