Khamis, 7 Julai 2022 | 3:43pm
Ektiviti ekonomi Sri Lanka terjejas teruk oleh kekurangan elektrik dan bahan api - Foto EPA
Ektiviti ekonomi Sri Lanka terjejas teruk oleh kekurangan elektrik dan bahan api - Foto EPA

Sri Lanka naikkan kadar faedah kepada 15.5 peratus

COLOMBO: Sri Lanka menaikkan kadar faedah sebanyak satu mata peratusan, kenaikan besar kali kedua dalam tempoh tiga bulan, pada ketika bank pusat negara itu memberi amaran inflasi setinggi 80 peratus dan kemelesetan.

Central Bank of Sri Lanka menaikkan deposit penanda aras dan kadar pinjaman masing-masing kepada 14.5 peratus dan 15.5 peratus, selepas data menunjukkan inflasi melonjak ke paras tertinggi 54.6 peratus bulan lalu.

Pegawai-pegawai bank pusat berkata, kenaikan itu disasarkan untuk membendung kenaikan harga, yang diunjurkan meningkat 80 peratus menjelang akhir tahun ini, selain mengurangkan tekanan permintaan yang semakin bertambah di dalam ekonominya yang bermasalah.

Kekurangan kritikal makanan dan bahan api, selain pemotongan berpanjangan tenaga elektrik, menyebabkan demonstrasi anti kerajaan yang mendesak Presiden Gotabaya Rajapaksa meletak jawatan.

Bank pusat berkata, ekonomi negara itu akan mengalami kemelesetan tahun ini, selepas berkembang 3.7 peratus tahun lalu dan menguncup 3.6 peratus pada 2020.

Perdana Menteri, Ranil Wickremesinghe memberitahu Parlimen bahawa ekonomi mungkin menguncup setinggi tujuh peratus.

Bank pusat berkata, aktiviti ekonomi pada suku kedua tahun ini terjejas teruk oleh kekurangan elektrik dan bahan api, manakala semua pejabat tidak penting dan sekolah diarahkan tutup dalam usaha mengurangkan perjalanan serta menjimatkan tenaga.

Negara itu secara rasmi telah kehabisan petrol dan diesel, manakala bekalan baharu hanya akan tiba dua minggu lagi.

Kerajaan gagal membayar hutang asing AS$51 bilion pada April dan sedang merundingkan kemungkinan pelan menyelamat bersama Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF).

"Perkembangan penting telah dibuat berhubung rundingan bersama IMF ke arah mencapai perjanjian Kemudahan Dana Lanjutan (EFF) dalam masa terdekat ini.

Ia menambah bahawa rundingan juga sedang dibuat bersama beberapa rakan bilateral dan multilateral untuk mendapatkan pembiayaan bersambung.

-AFP

Berita Harian X