Khamis, 19 Mei 2022 | 12:26pm
Kerajaan boleh melihat potensi penggunaan MySejahtera bagi mengagihkan subsidi secara lebih bersasar - Foto hiasan
Kerajaan boleh melihat potensi penggunaan MySejahtera bagi mengagihkan subsidi secara lebih bersasar - Foto hiasan

Guna MySejahtera agih subsidi bersasar

KUALA LUMPUR: Kerajaan boleh mempertimbangkan penggunaan aplikasi MySejahtera atau membangunkan aplikasi baharu yang setanding selain memanfaatkan pangkalan data daripada MyKad bagi tujuan pemberian subsidi lebih bersasar, termasuk subsidi bahan api.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid, berkata pengalaman berdepan pandemik COVID-19 selama dua tahun banyak mengajar mengenai penggunaan teknologi dan manfaatnya dalam membantu menguruskan isu berkenaan.

Justeru, beliau percaya pangkalan data yang meluas serta rakyat Malaysia yang sudah biasa dengan penggunaan teknologi, maka kerajaan boleh melihat potensi penggunaan MySejahtera bagi mengagihkan subsidi secara lebih bersasar.

"Kerajaan perlu memikirkan kaedah atau mekanisme yang sesuai dan tidak menimbulkan kekeliruan atau paling teruk menyebabkan situasi inflasi semakin tidak terkawal.

"Kaedah menggunakan MyKad pernah dibincangkan supaya ia boleh membantu dalam pemberian subsidi secara lebih bersasar. Namun, pengalaman pandemik banyak mengajar kita mengenai penggunaan teknologi yang banyak membantu dalam menguruskan isu COVID-19.

"Saya percaya pangkalan data yang meluas serta rakyat Malaysia juga sudah biasa dengan penggunaan berkenaan, maka pihak kerajaan boleh melihat potensi penggunaan aplikasi MySejahtera bagi tujuan pemberian subsidi yang lebih bersasar," katanya kepada BH.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dilaporkan berkata, kementeriannya sedang mencari jalan untuk melaksanakan subsidi bersasar.

Beliau berkata, kementerian sudah membuat sesi libat urus dengan pihak berkepentingan dan akan membawa kepada Kabinet dalam masa terdekat.

Katanya, pemberian subsidi pada masa ini adalah menyeluruh dan memberi manfaat semua orang termasuk golongan kaya, contohnya, sebahagian besar daripada subsidi petrol berjumlah RM4 bilion setakat Mac 2022 sebenarnya dinikmati oleh golongan T20.

"Setiap RM1 subsidi bahan api, 53 sen pergi ke golongan T20 manakala hanya 15 sen dimanfaatkan oleh golongan B40," kata Tengku Zafrul.

Penganalisis Ekonomi Putra Business School (PBS), Prof Madya Dr Ahmed Razman Abdul Latiff, pula mencadangkan penggunaan teknologi dengan menaik taraf cip MyKad untuk memudahkan agihan subsidi bersasar kepada kumpulan sasaran iaitu golongan B40 dan golongan rentan.

Beliau berkata, pangkalan data membabitkan golongan sasaran itu sudah ada menerusi maklumat penerima di bawah Bantuan Keluarga Malaysia (BKM).

"Maklumat penerima layak sudah ada. Cara untuk menyalurkannya (subsidi bersasar) adalah memanfaatkan penggunaan kad pengenalan, yang dihubungkan dengan Touch n Go. Jadi, golongan yang layak boleh guna kad pengenalan untuk beli minyak di premis perniagaan berkenaan," katanya.

Mengenai langkah mengekang salah laku atau penyelewengan subsidi bersasar itu, Ahmed Razman berkata, penetapan had maksimum dari segi jumlah secara bulanan boleh mengurangkan penyelewengan manfaat subsidi itu.

Ahli Ekonomi, Profesor Emeritus Datuk Dr Zakariah Abdul Rashid pula berpandangan, secara teori, pelaksanaan subsidi bersasar adalah satu kaedah yang baik, tetapi pelaksanaannya sangat rumit.

Justeru, katanya, adalah penting untuk mengenal pasti produk dan penerima manfaat bagi subsidi bersasar.

"Kad subsidi adalah kaedah umum yang disokong oleh penggunaan teknologi. Soal lebih besar ialah mengimbangi antara rasionalisasi subsidi untuk memperbaiki daya saing ekonomi negara dengan kesannya kepada kesejahteraan yang akan terjejas," katanya.

Beliau berkata, rasionalisasi ke atas subsidi dan ke atas bantuan sosial yang bukan subsidi, mempunyai kesan yang berbeza secara langsung dan secara tidak langsung ke atas daya saing ekonomi.

"Maka, ia perlu diteliti secara tuntas. Proses ini agak rumit kerana inilah natijah yang terpaksa kita hadapi kerana mencampuri urusan pasaran yang sangat tidak digalakkan dalam pasaran bebas," katanya.

Profesor Ekonomi Sunway University, Dr Yeah Kim Leng pula mencadangkan ubsidi bersasar dimasukkan ke dalam pemindahan tunai seperti Bantuan Sara Hidup/Bantuan Prihatin untuk kumpulan B40 supaya mereka yang menggunakan pengangkutan awam turut mendapat manfaat daripada subsidi berkenaan.

Beliau berkata, baucar petrol atau sistem kad boleh direka bentuk, tetapi ia mungkin lebih mahal untuk dilaksanakan.

Berita Harian X