Selasa, 12 April 2022 | 11:28am
Russia dan Ukraine membekalkan 45 peratus produk bunga matahari ke seluruh dunia - Foto EPA
Russia dan Ukraine membekalkan 45 peratus produk bunga matahari ke seluruh dunia - Foto EPA

Konflik Russia-Ukraine jejas separuh dagangan dunia

GENEVA: Konflik berterusan antara Russia dan Ukraine menjejaskan ekonomi global, dengan mengurangkan unjuran pertumbuhan perdagangan dunia tahun ini daripada 4.7 peratus yang diramalkan pada Oktober lalu kepada antara 2.4 peratus hingga tiga peratus.

Unjuran itu, yang berasaskan model simulasi ekonomi global, dibuat oleh Sekretariat Pertubuhan Perdagangan Sedunia (WTO) dalam satu nota yang dikeluarkan kelmarin, demikian lapor Xinhua.

Berdasarkan model sama, krisis itu akan mengurangkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) global antara 0.7 hingga 1.3 mata peratusan, menjadikannya antara 3.1 peratus hingga 3.7 peratus bagi 2022.

Konflik itu melonjakkan harga makanan dan tenaga, selain mengurangkan bekalan barangan dieksport oleh Russia dan Ukraine, kata nota Sekretariat itu.

Russia dan Ukraine kedua-duanya adalah pembekal penting produk keperluan, terutama sumber makanan dan tenaga, menurut nota berkenaan.

Kedua-dua negara membekalkan kira-kira 25 peratus gandum, 15 peratus barli dan 45 peratus produk bunga matahari ke seluruh dunia pada 2019.

Russia sahaja mewakili 9.4 peratus perdagangan dunia bagi bahan api, termasuk 20 peratus pasaran dalam eksport gas asli.

Russia adalah salah satu pembekal utama global palladium dan rodium, elemen penting dalam pengeluaran ejen pemangkin bagi kenderaan.

Sementara itu, pengeluaran semikonduktor bergantung kepada sejumlah besar bekalan neon dari Ukraine.

Gangguan bekalan bahan berkenaan boleh menjejaskan pengeluar kereta ketika industri itu sedang mulai pulih daripada masalah kekurangan semikonduktor, tegas WTO.

Eropah, destinasi utama bagi eksport Russia dan Ukraine, berkemungkinan berdepan impak buruk ekonomi.

Penurunan penghantaran bijirin dan sumber makanan lain juga akan turut melonjakkan harga barangan pertanian.

Afrika dan Asia Barat adalah rantau paling terkesan, memandangkan kedua-duanya mengimport lebih 50 peratus keperluan bijirin dari Ukraine atau Russia.

Secara keseluruhan, 35 negara di Afrika mengimport makanan dan 22 negara mengimport baja dari Ukraine, Russia atau kedua-duanya.

Sebahagian negara di Sub-Sahara Afrika berdepan potensi kenaikan harga antara 50 hingga 85 peratus gandum, berikutan impak krisis bekalan bijirin itu, kata nota terbabit.

"Krisis pada masa ini berkemungkinan memburukkan lagi jaminan makanan antarabangsa pada ketika harga makanan sudah pun mencecah paras tertinggi dalam sejarah disebabkan oleh pandemik COVID-19 dan faktor-faktor lain," katanya.

-BERNAMA

Berita Harian X