Rabu, 9 March 2022 | 4:04pm
Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Zuraida Kamaruddin -NSTP/Eizairi Shamsudin
Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Zuraida Kamaruddin -NSTP/Eizairi Shamsudin

Kerajaan akan siasat rampasan terbaharu sawit oleh AS

 

PUTRAJAYA: Kerajaan akan menyiasat sama ada syarikat Malaysia terbabit dengan rampasan empat penghantaran minyak sawit oleh Jabatan Kastam dan Perlindungan Sempadan (CBP) Amerika Syarikat (AS) sejak 11 Februari lalu.

 

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Zuraida Kamaruddin, berkata buat masa ini pihaknya belum pasti syarikat dan negara yang terbabit dalam rampasan itu.

 

"Kita masih siasat. Kita tidak tahu dari mana atau syarikat mana," katanya ketika diminta mengulas mengenai rampasan terkini produk sawit oleh CBP AS.

 

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas pelancaran Dasar Agrikomoditi Negara 2021-2030 (DAKN 2030) di sini, hari ini.

 

Dalam satu kenyataan pada Selasa, CBP AS berkata ia merampas empat penghantaran minyak sawit Malaysia di Baltimore sejak 11 Februari berikutan maklumat yang menunjukkan bahawa komoditi itu dikilangkan secara buruh paksa.

 

Dalam satu kenyataan di laman webnya, CBP AS berkata, penghantaran minyak sawit itu bernilai hampir AS$2.5 juta.

 

Ia berkata, rampasan penghantaran terbaharu itu terdiri daripada 108 pek super asid palmitik, pada 1 Mac dan merampas tiga penghantaran awal gabungan 270 pek super asid palmitik pada 11 Februari.

 

Ia berkata pek super ialah guni fleksibel besar yang digunakan untuk mengangkut kargo pukal, seperti pasir, bijirin, biji kopi atau bahan serbuk.

 

CBP AS bagaimanapun tidak mengenal pasti syarikat Malaysia yang mengeluarkan asid palmitik itu dalam kenyataannya.

 

Berita Harian X