Rabu, 9 March 2022 | 3:21pm
Empat penghantaran minyak sawit dari Malaysia dirampas di Baltimore, AS sejak 11 Februari lalu - Foto hiasan
Empat penghantaran minyak sawit dari Malaysia dirampas di Baltimore, AS sejak 11 Februari lalu - Foto hiasan

Kastam AS rampas sawit Malaysia bernilai RM10.45 juta

KUALA LUMPUR: Jabatan Kastam dan Perlindungan Sempadan (CBP) Amerika Syarikat (AS) merampas empat penghantaran minyak sawit bernilai hampir AS$2.5 juta (RM10.45 juta) Malaysia di Baltimore sejak 11 Februari lalu susulan maklumat menunjukkan ia dikeluarkan oleh buruh paksa.

CBP AS dalam kenyataannya berkata, rampasan terbaharu itu merangkumi 108 pek super asid palmitik pada 1 Mac lalu, selain merampas tiga penghantaran awal membabitkan 270 pek super asid palmitik pada 11 Februari.

Pek super adalah guni besar fleksibel yang digunakan untuk mengangkut kargo pukal seperti pasir, bijirin, biji kopi atau bahan berserbuk.

Asid palmitik pula ialah minyak sawit yang ditapis menjadi serbuk yang boleh digabungkan dengan mudah ke dalam makanan, minuman dan produk penjagaan kulit serta kesihatan.

Keempat-empat penghantaran asid palmitik itu dihasilkan di Malaysia dan dihantar ke kemudahan pemprosesan di Delaware.

Berat gabungan empat penghantaran asid palmitik mencapai 544,176 paun dan bernilai kira-kira AS$2,466,500 (RM10,308,145).

Pada 28 Januari lalu, CBP mengeluarkan Notis Penemuan kepada Pendaftar Persekutuan (FRN 2022-01779) yang menyatakan minyak sawit dan produk derivatif tertentu yang dibuat sepenuhnya atau sebahagiannya dengan minyak sawit yang dihasilkan di Malaysia, menggunakan banduan, atau buruh paksa yang tidak boleh diterima kerana melanggar 19 USC 1307 dan 19 CFR 12.42.

"Tiada tempat untuk buruh paksa dalam dunia hari ini dan CBP berpendirian teguh menentang syarikat asing yang mengeksploitasi pekerja yang terjejas.

"CBP akan terus memastikan barangan yang dihasilkan oleh buruh paksa tidak memasuki perdagangan negara ini dan kami akan membantu menghapuskan amalan tidak berperikemanusiaan ini dalam rantaian bekalan AS," kata Pemangku Pengarah Bahagian Pelabuhan CBP di Baltimore, Marc Calixte.

CBP berkata, ia akan merampas keempat-empat penghantaran terbaharu itu jika pengimport tidak memberi maklum balas kepada jabatan itu dalam tempoh tiga bulan.

Berkuat kuasa 30 Disember 2020, CBP mengeluarkan Perintah Pelepasan Penahanan (WRO) yang mengarahkan kakitangan di semua pelabuhan masuk AS untuk menahan minyak sawit dan produk yang mengandungi minyak sawit yang dikeluarkan oleh Sime Darby Plantation Bhd, anak syarikat, syarikat usaha sama dan entiti gabungannya di Malaysia.

WRO adalah berdasarkan maklumat yang secara munasabah menunjukkan kewujudan kesemua 11 penunjuk buruh paksa Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) dalam proses pengeluaran Sime Darby Plantation.

Berita Harian X