Jumaat, 25 Februari 2022 | 10:02am
Harga makanan meningkat dengan ketara pada minggu ini - Foto Bloomberg
Harga makanan meningkat dengan ketara pada minggu ini - Foto Bloomberg

Krisis Russia-Ukraine lonjak harga makanan dunia

NEW YORK: Inflasi makanan yang sedang membelenggu pengguna global dijangka menjadi bertambah buruk apabila serangan Russia ke atas Ukraine mengancam penghantaran beberapa tanaman ruji dunia.

Ukraine dan Russia secara bersama mengeluarkan lebih suku daripada dagangan gandum dunia, selain satu perlima jualan jagung.

Penutupan pelabuhan dan laluan kereta api di Ukraine, sudah mula menyebabkan eksport komoditi negara itu terjejas.

Penghantaran tanaman bukan satu-satunya ancaman yang boleh melonjakkan lagi inflasi.

Russia adalah pengeksport kos rendah utama bagi hampir semua jenis baja.

Adalah sukar untuk mengukur kepentingan komoditi itu kepada rantaian bekalan makanan, memandangkan semua jenis makanan yang ada memerlukan baja.

Jika perdagangan global terganggu, ia bermakna kos lebih besar bagi peladang di seluruh dunia, yang seterusnya menyebabkan inflasi makanan menjadi lebih tinggi.

Harga makanan sudah pun meningkat, dengan segala-galanya daripada gandum, jagung dan kacang soya melonjak minggu ini.

Perang yang menghentikan eksport tanaman Ukraine akan menyebabkan harga gandum melonjak 30 peratus dan jagung sebanyak 20 peratus, demikian menurut penganalisis Rabobank.

"Ia akan melonjakkan inflasi," kata Naib Presiden Institut Pemasaran Makanan, Andrew Harig, pada Forum Tinjauan Pertanian tahunan yang dianjurkan oleh Jabatan Pertanian Amerika Syarikat (AS).

"Kita tidak dapat memahami sepenuhnya proses itu."

Harga makanan global melonjak ke paras tertinggi dalam sejarah sejak beberapa bulan lalu.

Cuaca melampau menjadikan lebih sukar untuk menghasilkan tanaman, manakala kekurangan pekerja dan kos perkapalan lebih tinggi menyempitkan rantaian bekalan.

Krisis di Ukraine akan melonjakkan lagi harga makanan, kata Naib Presiden Price Futures Group Inc, Jack Scoville.

"Langit adalah hadnya," kata Scoville.

-Bloomberg

Berita Harian X