Isnin, 20 Disember 2021 | 1:57pm
(Gambar fail) Banjir di Lebuhraya Persekutuan arah Klang berhampiran Batu Tiga, Shah Alam. - NSTP/AHMAD SUHAEL ADNAN
(Gambar fail) Banjir di Lebuhraya Persekutuan arah Klang berhampiran Batu Tiga, Shah Alam. - NSTP/AHMAD SUHAEL ADNAN

Banjir: Perlu cepat bertindak elak kesan ekonomi

KUALA LUMPUR: Bencana banjir terburuk yang melanda Lembah Klang, jika berlarutan, akan menjejaskan pemulihan ekonomi negara kerana Kuala Lumpur dan Selangor adalah antara penyumbang terbesar kepada keluaran dalam negara kasar (KDNK).

Susulan itu, kerajaan perlu cepat bertindak mengatasi krisis ini supaya ia tidak mengganggu proses pemulihan ekonomi dan wujudnya satu lagi krisis.

Penganalisis ekonomi Universiti Kuala Lumpur (UniKL) Business School, Prof Madya Dr Aimi Zulhazmi Abdul Rashid, jika perkara ini tidak diatasi segera, ia bakal menjadi krisis nasional memandangkan Selangor dan Kuala Lumpur ibarat 'jantung' kepada ekonomi negara dengan menyumbang lebih 40 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

"Kerajaan perlu cepat bertindak kerana ekonomi akan terkesan apatah lagi ia baru mula beransur-ansur pulih dengan pelbagai peniaga mikro kecil dan sederhana (PMKS) kembali beroperasi. Tetapi sekiranya krisis ini berlarutan, ia akan menjejaskan usaha yang dibuat oleh semua pihak terutama kerajaan.

"Selangor menyumbang hampir 30 peratus daripada KDNK Malaysia. Jika Selangor lumpuh selama seminggu, rantaian bekalan akan terjejas. Pengagihan barangan pengguna akan terjejas.

"Kuala Lumpur (sumbang 15 peratus KDNK Malaysia) juga sedang mengalami ancaman (banjir) yang sama, dan kedua negeri ini adalah jantung ekonomi negara. Kesannya akan bergema di seluruh negara. Banjir itu bukan krisis Selangor sahaja, ia adalah krisis nasional," katanya ketika dihubungi BH.

Aimi Zulhazmi turut mencadangkan, kerajaan perlu mengisytiharkan darurat memandangkan negara tidak bersedia untuk berdepan krisis banjir di Selangor dengan segala aset digerakkan ke Pantai Timur sahaja ketika ini.

"Jika hujan berterusan, mesti isytiharkan darurat di Selangor. Bagaimanapun pihak tentera sudah dikerah turun padang bagi membantu evakuasi rakyat yang terperangkap. Bantuan saguhati bagi memperbaiki rumah dan kenderaan yang rosak mesti dilaksanakan. Begitu juga bantuan makanan," katanya.

Beliau berkata, krisis yang tidak disangka ini memerlukan kerajaan membuat pelan jangka panjang sekiranya ia berulang, termasuk mempertimbang projek seperti terowong SMART boleh juga dibina di Selangor khususnya di kawasan yang kritikal.

"Kepadatan Lembah Klang dengan 10 juta penduduk memberi tekanan kepada pihak berkuasa apatah lagi kekurangan infrastruktur seperti bekalan air bersih, perparitan dan saliran serta kenaikan harga barangan, kos sara hidup yang tidak sekata dengan kenaikan gaji," katanya.

Sementara itu, Penganalisis Ekonomi Putra Business School (PBS), Prof Madya Dr Ahmed Razman Abdul Latiff berkata, situasi banjir di Lembah Klang memberi impak negatif terutamanya kepada ekonomi tempatan sekitar kawasan berkenaan terutama kepada perniagaan yang terjejas akibat premis dinaiki air atau terputus hubungan jalan raya.

Namun, katanya, impak negatif yang dicetuskan krisis itu agak minimum dengan jangkaan kejadian banjir itu tidak berpanjangan.

"Cuma impak negatif yang lebih ketara adalah kepada isi rumah yang mengalami kerosakan kenderaan dan rumah.

"Jika banjir berlarutan selama seminggu, ia bakal mengganggu rantaian bekalan dan akan menyebabkan harga barang yang telah meningkat naik akan meningkat dengan lebih tinggi lagi.

"Saya melihat kerajaan Persekutuan dan Negeri boleh menggunakan mana-mana wang peruntukan yang sepatutnya dibelanjakan pada tahun ini, tetapi tidak habis dibelanjakan, untuk maksud membantu penduduk yang terjejas akibat banjir dari segi bantuan penempatan sementara, makanan dan pembaikpulihan rumah," katanya.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid, berkata secara umumnya, impak ke atas ekonomi amat bergantung kepada berapa lama situasi banjir di Lembah Klang bakal berlarutan.

"Semakin lama situasi ini berpanjangan, maka semakin besar impaknya kepada aktiviti ekonomi. Namun, kesan kepada setiap individu yang terkesan adalah agak signifikan.

"Kereta yang tenggelam perlu di 'overhaul', rumah yang kotor perlu dicuci serta perabot, peralatan elektrik dan pelbagai barangan dalam rumah yang mungkin rosak akibat bahana banjir. Semua ini akan membabitkan kos kepada mereka yang terkesan.

"Kejadian banjir kilat ini menjadi suatu malapetaka yang menjejaskan semua pihak. Justeru, setiap perancangan pembangunan perlu mengambilkira aspek alam persekitaran seperti kawasan tadahan hujan serta sistem perparitan dan sungai yang perlu sentiasa dipantau agar risiko banjir kilat dapat dikurangkan," katanya.

Berita Harian X