Jumaat, 3 Disember 2021 | 10:06pm

AXA perkenal perlindungan pandemik percutian luar negara

KUALA LUMPUR: AXA Affin General Insurance Berhad (AXA) memperkenalkan SmartTraveller Enhanced, insurans perjalanan pertama dalam pasaran Malaysia yang menyediakan perlindungan untuk penyakit berkaitan pandemik hingga RM350,000.

Produk itu diperkenalkan bagi menangani isu keperluan perlindungan yang meningkat susulan perjalanan antarabangsa yang semakin kerap.

Ketua Pegawai Eksekutif AXA, Emmanuel Nivet, berkata insurans perjalanan menjadi keutamaan pada masa kini dan ia adalah langkah pelindungan bagi mendepani pelbagai kecemasan dan perbelanjaan yang tidak dijangka.

"Walaupun kebanyakan polisi umum insurans mengecualikan perlindungan pandemik, kami berbesar hati untuk mengubah perkara itu dengan mempertingkatkan perlindungan dan menjadi syarikat insurans pertama dalam pasaran yang memperkenalkan Perlindungan Pandemik dengan liputan meluas untuk percutian ke luar negara.

"Sejak dilancarkan, pelan ini menerima sambutan yang menggalakkan dalam kalangan pelancong dan kami menjangkakan permintaan akan terus berkembang. Kami yakin liputan ini akan menangani jurang perlindungan dalam pasaran dan memberi manfaat kepada semua pelancong," katanya dalam kenyataan.

Pelancong kini boleh memilih untuk menambah Pandemic Cover untuk percutian ke luar negara bagi menampung pembatalan perjalanan, sekatan perjalanan, perbelanjaan perubatan, hospital dan rawatan, elaun hospital, pemindahan perubatan kecemasan, penghantaran pulang perubatan kecemasan dan penghantaran pulang jenazah jika didiagnosis dengan penyakit pandemik.

Selain Perlindungan Pandemik untuk perjalanan ke luar negara, SmartTraveller Enhanced turut dilengkapi perlindungan komprehensif lain termasuk Elaun Hospital hingga RM10,500 dan Pembatalan & Sekatan Perjalanan hingga RM20,000.

Bagi perjalanan darat membabitkan cuti inap domestik, pelancong boleh memilih pelan insurans Perjalanan Jom Lokal yang akan melindungi segala bayaran yang tidak boleh dibayar balik sebelum pembatalan perjalanan, gangguan perjalanan, perlindungan e-dompet dan keracunan makanan.

AXA Affin General Insurance Berhad yang ditubuhkan pada 1975 di Malaysia, adalah syarikat bersekutu AFFIN Bank Berhad.

Berita Harian X