Isnin, 29 November 2021 | 11:10am
Gambar hiasan. - NSTP/Ghazali Kori
Gambar hiasan. - NSTP/Ghazali Kori

Alat ganti kereta: Kenaikan harga hingga 60 peratus tidak benar

KUALA LUMPUR: Dakwaan sesetengah pihak mengenai peningkatan harga alat ganti kenderaan sehingga 60 peratus adalah tidak benar sama sekali, kata Ketua Pegawai Eksekutif Institut Automotif, Robotik dan IoT Malaysia (MARii), Datuk Madani Sahari.

Beliau berkata, walaupun perubahan harga berpandukan isu semasa mungkin boleh terjadi, pasaran alat ganti di Malaysia telah lama diliberalisasikan dan tertakluk kepada persaingan oleh pelbagai pembekal alat ganti.

"Pengguna mempunyai pilihan untuk memilih produk yang paling kompetitif di pasaran dan jika terdapat keraguan ataupun tidak berpuas hati boleh mengajukan aduan kepada pihak berkuasa," katanya kepada BH.

Baru-baru ini, terdapat laporan harga alat ganti kenderaan semua kelas dijangka meningkat sehingga 60 peratus dalam tempoh terdekat ekoran masalah bekalan dan peningkatan kos pengangkutan selepas semua sektor ekonomi dibuka dan rentas negeri dibenarkan pada 11 Oktober lalu.

Peningkatan harga alat ganti termasuk alat ganti terpakai turut menggusarkan pemilik bengkel kenderaan dan secara tidak langsung bakal menekan pemilik kenderaan yang sedang menanggung pelbagai kenaikan harga barang lain ketika ini.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Usahawan Pembangunan Automotif Wanita Malaysia (PUSPAWM), Mastinah Mohamad Sani, berkata berlaku kenaikan beberapa komponen dan alat ganti kenderaan sejak dua bulan lalu tetapi tidak melebihi 20 peratus.

"Sebagai contoh, harga tayar naik antara lima peratus hingga sepuluh peratus sejak September. Kami juga mendapati harga alat ganti naik antara 10 hingga 20 peratus, bukannya sebagai mana didakwa sehingga 60 peratus," katanya.

Mastinah berkata, kenaikan komponen dan alat ganti kenderaan berkemungkinan disebabkan oleh kesan penutupan kilang sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Jun hingga September lalu.

"Kami juga mendapati ada kenaikan harga besi dan aluminium pada bulan lalu yang mana akan meningkatkan kos alat ganti atau komponen berkaitan, begitu juga dengan harga gas pendingin hawa yang telah meningkat dua bulan lepas," katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif Proton Edar Sdn Bhd (PESB), Roslan Abdullah pula berkata, harga komponen dan alat ganti Proton tidak meningkat dan pengeluar kereta nasional itu tidak bercadang menaikkan harga meskipun kos pengeluaran naik selari dengan peningkatan kos bahan mentah dunia.

"Proton juga memantau harga jualan oleh pengedar alat ganti sah. Ketika ini, tiada tanda akan naik harga (komponen dan alat ganti).

"Tidak buat pada masa ini (menaikkan harga komponen dan alat ganti) kerana Proton mengambil kira keadaan ekonomi semasa," katanya.

Berita Harian X