Ahad, 21 November 2021 | 2:02pm
Ketua Pegawai Eksekutif Cendana, Izan Satrina Mohd Sallehuddin.
Ketua Pegawai Eksekutif Cendana, Izan Satrina Mohd Sallehuddin.

KLWKND jadikan Kuala Lumpur hab pengembangan seni, budaya

KUALA LUMPUR: Keputusan membuka semula sektor seni dan budaya kebanyakan negeri yang diletakkan di bawah Fasa Empat Pelan Pemulihan Negara (PPN) telah memberi ruang besar kepada penggiat seni untuk kembali aktif merancakkan industri berkenaan.

Ia dapat dilihat dengan jelas apabila pelbagai acara seni dan budaya kembali dilaksanakan dengan pengawasan prosedur operasi standard (SOP) ketat seperti yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Melihat kepada perkembangan itu, Agensi Pembangunan Ekonomi Budaya (CENDANA) turut merencanakan pelbagai program kesenian dan kebudayaan, termasuklah 'Seni Di Dalam Bandar' (Art In The City - AITC) yang telah dirancang sebelum ini sebagai menyokong usaha pemulihan sektor seni dan budaya tanah air.

Program yang berlangsung sejak Oktober 2021 dan akan berakhir pada hujung Disember 2021 itu membabitkan lebih 100 program kesenian dan kebudayaan, termasuklah aktiviti mempromosi seni, kreativiti dan imaginasi rakyat Malaysia untuk dinikmati dan dihayati oleh seluruh masyarakat dan pelancong asing.

Antara program yang menarik perhatian sepanjang berlangsungnya AITC ialah Festival KLWKND yang akan berlangsung pada 25 hingga 28 November ini.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Cendana, Izan Satrina Mohd Sallehuddin, objektif utama penganjuran Festival KLWKND adalah sebagai usaha untuk 'merakyatkan' seni agar ia boleh diakses oleh semua lapisan masyarakat termasuk pelancong asing.

Ia dilaksanakan menerusi pendekatan atas ke bawah dengan melibatkan komuniti, organisasi, sektor perniagaan dan individu yang berbeza, daripada pemilik hartanah, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang mewakili kumpulan terpinggir, sehinggalah kepada kumpulan seni dan individu yang cintakan Kuala Lumpur secara amnya.

Festival KLWKND.
Festival KLWKND.

Sepanjang empat hari penganjurannya, Festival KLWKND akan menonjolkan Kuala Lumpur melalui dimensi sejarah, seni, reka bentuk, budaya dan warisan, merangkumi aktiviti utama beberapa lokasi seni dan budaya di sekitar Kuala Lumpur termasuklah di GoDown KL, Panggung Bandaraya DBKL, Pasar Seni dan RexKL yang kesemuanya boleh diakses dengan hanya berjalan kaki antara satu sama lain.

Program yang akan menjadi pembuka tirai pada 25 November ini ialah Opera Serikandi Nusantara yang merupakan sebuah opera muzikal vokal, piano dan koir yang disusun oleh pemuzik diiktiraf antarabangsa, Prof. Madya Dr Tazul Izan Tajuddin.

Opera yang akan berlangsung di Panggung Bandaraya itu bakal mempersembahkan kombinasi muzikal Melayu seperti Mak Yong, Menora, Wayang Kulit dan gamelan dengan elemen opera seperti ensembel koir bagi menceritakan kisah-kisah lagenda puteri-puteri Melayu seperti Puteri Gunung Ledang, Cik Siti Wan Kembang, Puteri Saadong, Puteri Han Li Po, Puteri Santubong, Puteri Sejinjang, Puteri Ulek Muyang, Puteri Walinong Sari, Puteri Zaleha, Puteri Bidasari and Tun Fatimah.

Menerusi program 'Art of Dance' pula, Festival KLWKND akan membawakan para penari dan koreografer terbaik nasional iaitu Aida Redza, Raziman Sarbini, Pexstret Liu, Lee Swee Keong dan Suhaili Micheline untuk persembahan-persembahan hebat bertemakan buluh dan bandaraya yang juga akan berlangsung di lokasi sama pada 26 November.

Bagi mereka yang meminati aktiviti bual bicara bertemakan kesusasteraan Melayu pula, acara forum 'Memperkenalkan Sasterawan Negara' perlu dijadikan acara yang wajib untuk dihadiri pada 28 November di Panggung Bandaraya kerana ia bakal menyaksikan satu sesi perbincangan panel yang akan dibarisi empat Sasterawan Negara tersohor iaitu Prof Emeritus Dr Muhammad Haji Salleh, Dato' Dr. Mohd. Anwar Rethwan, Datuk Dr Zurinah Hassan dan Datuk Dr Siti Zainon Ismail.

Acara lain yang turut diatur termasuklah Bamboo House @ The Godown KL, Art of Bamboo (The Godown KL), Bicara Bamboo (The Godown KL), KL Story (Pasar Seni), Best of Malaysian Craft (Pasar Seni), Forest in the City (High Street Studio), Lauk Pauk @ The Back Ground (RexKL), Buku2Book (RexKL), Love Malaysia Batik (GMBB) dan Bamboo – Textile for the Future (The RuMa Hotel & Residences).

Berita Harian X