Selasa, 23 Februari 2021 | 3:19pm
Malaysia menguasai 65 peratus pasaran sarung tangan dunia - Foto hiasan
Malaysia menguasai 65 peratus pasaran sarung tangan dunia - Foto hiasan

Permintaan sarung tangan getah tidak akan terjejas

IPOH: Pelaksanaan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan tidak akan mengurangkan permintaan dan kebergantungan terhadap industri sarung tangan getah perubatan yang menjadikan Malaysia pengeluar utama produk terbabit di dunia.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas), Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof, berkata ia berikutan jangkaan serantau bahawa pelaksanan imunisasi menjangkau sehingga lima tahun dengan sarung tangan semestinya diperlukan dalam tempoh itu.

Dalam masa sama, katanya, kerajaan akan terus memberi bantuan sewajarnya kepada syarikat korporat yang menceburi sektor industri berkenaan bagi mengekalkan kedudukan itu.

"Kita sudah tunjukkan kepada dunia kebolehan menghasilkan bukan hanya sarung tangan perubatan malah sarung tangan untuk kegunaan pembedahan yang saya lihat piawaiannya lebih tinggi.

"Jika hari ini eksport sarung tangan getah yang dicatatkan adalah RM91 billion, dijangkakan dalam masa terdekat ia boleh meningkatkan lagi pada kadar 30 peratus seandainya lebih banyak syarikat pembuatannya dibantu untuk mengembangkan kemudahan.

"Harapan kita agar industri ini terus memacu ekonomi negara seterusnya menyediakan peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan yang sekali gus mengurangkan kebergantungan terhadap pekerja asing," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media pada majlis pembukaan kilang AT Glove Engineering Sdn Bhd di Kawasan Perusahaan Seramik Chepor, Chemor dekat sini, hari ini.

Turut hadir, Pengarah Urusan AT Systematization, Choong Lee Aun.

Mohd Redzuan berkata, kerajaan akan terus menggalak serta bertindak sebagai pemudah cara bagi sektor korporat yang terbabit dalam industri strategik seperti pembuatan sarung tangan getah bagi mengekalkan kedudukan negara sebagai pemain utama industri berkenaan.

"Jika perlu, kita galakkan mereka untuk mengeksport dengan lebih besar lagi sehingga dapat memenuhi keperluan dunia sekali gus menyumbang kepada ekonomi negara melalui pertumbuhan GNI Pendapatan Negara Kasar (GNI)," katanya.

Terdahulu, dalam ucapannya, Mohd Redzuan berkata Malaysia menguasai 65 peratus pasaran dunia sekali gus menjadikannya sumber terbesar bagi penghasilan sarung tangan perubatan.

Beliau berkata, biarpun program vaksinasi dijalankan secara global, permintaan terhadap sarung tangan getah atau 'nitrile glove' tetap melonjak, disumbangkan oleh pertambahan ujian makmal terhadap pembangunan serta keberkesanan vaksin di serata dunia.

Berita Harian X